Dikatakan Murtad, Ini 5 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Ijazah Kehormat Yang Diterima Dr. Maszlee

Baru-baru ini, tular di media sosial satu foto yang memaparkan Dr. Maszlee Malik memberi ucapan di dalam sebuah bangunan yang berkonsepkan agama Buddha. Segelintir warganet tampil melemparkan kecaman terhadap Dr. Maszlee dan mendakwa akidah Menteri Pendidikan Malaysia itu semakin terpesong hanya kerana foto tersebut. Tidak cukup dengan itu, ada yang mendakwa Dr. Maszlee sebenarnya sudah murtad.

Benarlah bahawa masyarakat kita gemar menuding jari secara melulu tanpa sebarang usul periksa. Cerita sebenar di sebalik foto itu bagaikan langit dengan bumi berbanding apa yang didakwa segelintir pihak. Menurut seorang warganet iaitu Adrian Lim, foto tersebut diambil ketika Dr. Maszlee berkunjung ke Jepun atas urusan kerja di mana beliau telah menerima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat Universiti Shukutoku.

Berikut kami kongsikan lima fakta yang anda perlu tahu tentang Ijazah Doktor Kehormat yang diterima oleh Dr. Maszlee:

1. Dr. Maszlee menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat Universiti Shukutoku.

2. Penganugerahan terhadap Dr. Maszlee itu adalah untuk menghargai sumbangan beliau dalam meningkatkan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Jepun.

3. Universiti Shukutoko mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia daripada segi falsafah pendidikan demi mencapai kebajikan sosial.

4. Menyempurnakan MoU antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Universiti Shukutoku. Ia adalah bertujuan untuk meneruskan hubungan baik dan kerjasama antara UMS dengan Universiti Shukutoku, terutamanya dalam bidang kebajikan dan kerja sosial.

5. Menyempurnakan MoU antara Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA) dengan Hospital Geriatrik Metropolitan Tokyo-Institut Gerontologi (TMGH-IG). Ia memainkan peranan penting dalam memartabatkan R&D kita dalam bidang perubatan.

Jadi, sebelum jari-jemari anda ligat menaip coretan berbaur dakwaan yang sama sekali tidak benar, selidik terlebih dahulu kerana sesungguhnya, memfitnah itu jauh lebih kejam daripada membunuh.

Artikel Lain Untuk Di Baca