Dijual Semasa Bayi, Remaja Lelaki Dipercayai Bunuh Diri Akibat Tidak Diterima Ibu Bapa Kandung

Seorang remaja lelaki yang mendakwa tidak diterima oleh ibu bapa kandungnya ditemukan mati di pantai timur China di Hainan pada Isnin lalu.

Menurut laporan South China Morning Post, remaja tersebut, Liu Xuezhou, 17, yang dijual oleh ibu bapanya ketika dia masih bayi, dipercayai membunuh diri selepas ibu bapa kandungnya enggan menerima dirinya.

Liu Xuezhou, 17, ditemukan mati di satu pantai di Hainan. Sumber: South China Morning Post

Sebelum kejadian tersebut, Liu meninggalkan nota menerusi aplikasi media sosial Weibo yang menimbulkan kerisauan banyak pihak dan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatannya. Nota yang melebihi 10 ribu patah perkataan itu memperincikan tentang situasi dirinya.

Operasi pencarian telah dilancarkan oleh pihak polis Sanya bagi mencari remaja itu. Akhirnya, mereka menemui tubuh remaja tersebut di pantai dan segera membawanya ke hospital, namun dia disahkan sudah meninggal dunia.

Cerita mengenai remaja berkenaan mula tular di media sosial dan menarik perhatian masyarakat di China.

Kisahnya bermula dari awal Januari ini selepas dirinya memuat naik kisah keputusan ibu bapa kandungnya untuk memutuskan hubungan dengan dirinya setelah mereka bertemu semula pada Disember tahun lepas.

Liu dijual oleh ibu bapanya kepada keluarga angkat pada 2005. Namun dia menjadi yatim piatu apabila keluarga angkatnya itu meninggal dunia dalam satu kejadian letupan di rumah mereka di Heibi.

Selepas kehilangan ibu bapa angkatnya, Liu dijaga oleh beberapa saudara. Setelah beberapa tahun, remaja itu akhirnya berjaya menjejak kembali ibu bapa kandungnya setelah melakukan pencarian dalam talian.

Gambar Liu bertemu ibu kandungnya pada tahun lepas.

Namun, ibu bapa kandungnya tidak lagi bersama. Mereka sudah pun bercerai dan masing-masing berkahwin lain dan hidup bersama keluarga baru.

Bagaimanapun, kedua-duanya dikatakan tidak menerima Liu dan enggan membenarkan dia tinggal bersama mereka.

Liu mendakwa ibu bapa kandungnya tidak membenarkan dia tinggal bersama mereka selain daripada turut tidak membenarkan dia melawat mereka. Dia meminta ibu bapanya membeli atau menyewa rumah kerana dia tidak memiliki sebarang tempat tinggal.

Namun, ada dakwaan mengatakan pertemuan pertama mereka itu berjalan lancar sehinggalah Liu meminta untuk tinggal berasingan. Bapa Liu, Ding Shuangquan dan ibunya, Zhang berkata dia mendesak mereka untuk membeli rumah sedangkan mereka tidak berkemampuan.

Zhang berkata, dia memutuskan hubungan dengan Liu untuk kembali hidup dengan aman.

“Tidakkah anda akan menjauhkan diri jika dia adalah anak anda dan bersikap sangat defensif sehingga dia merakam perbualan anda? Bapanya telah berkahwin semula, begitu juga saya. Dia memaksa kami membeli rumah untuknya sedang kami tidak mampu berbuat demikian,” katanya kepada Shangyou News.

Dalam notanya itu, Liu juga menceritakan tentah kisahnya dibuli dan dipanggil “anak terbiar” oleh rakan sekolahnya pada masa lalu. Liu juga mendakwa seorang guru lelaki telah menderanya secara seksual tetapi telah dirahsiakan olehnya selama ini.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca