Diinspirasikan Daripada Masakan Johor, Boleh Cuba Ikan Masak Tepian Tebrau Ini Dengan Harga Rakyat

Penulis: Nami Cob Nobbler

Mendengar sahaja nama menu Ikan Tepian Tebrau, terus mengenangkan pengalaman saya yang pernah makan makanan laut di tebing Selat Tebrau. Berdepan dengan Selat Tebrau, ada banyak kedai makanan laut di kawasan Johor Bahru yang enak-enak seperti di Stulang Laut, Kampung Jawa dan Medan Selera Tepian Tebrau yang terletak berhampiran dengan Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Pun begitu, tempat yang saya makan ini bukanlah di Johor Bahru sebaliknya di Premiere Hotel di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Dengan berinspirasikan masakan makanan laut di Medan Selera Tepian Tebrau, anak kelahiran Johor Bahru, Chef Noor Hisham Bin Mohamed Yussof, telah mencipta menu yang cukup menarik perhatian iaitu Ikan Masak Tepian Tebrau.

Chef Noor Hisham telah menerangkan pengalaman beliau membesar di Johor Bahru sebagai inspirasinya untuk mencipta menu ini. Dengan menggunakan beberapa bahan perisa seperti bunga kantan, serai serta cencalok yang menyebabkan rasa daripada sos tersebut tidak terlalu melampaui rasa ikan itu sendiri.

Cencalok, yang merupakan udang yang diperam, merupakan sos yang popular terutamanya dalam masakan Nyonya di Melaka, yang menjadikan kuah ikan tersebut ada rasa yang menarik.

Ikan yang dipilih oleh Chef Noor Hisham ialah ikan siakap, yang merupakan ikan air tawar yang paling sesuai dengan resipi ini. Dengan harga RM32 untuk menu ini, ia pastinya berbaloi terutamanya untuk sajian makan bersama keluarga.

Selain itu, Premiere Hotel Klang juga menyediakan beberapa resipi lain seperti Nasi Ayam Hainan, Nasi Lemak Pandan Bersama Sambal Sotong, Ayam Goreng Celup Tepung Cajun dan Cucur Goreng Gaya Klang.

The Buzz Cafe, restoran di Hotel Premiere Klang terletak di Bandar Bukit Tinggi, dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 11 malam.

Untuk menghubungi hotel ini, boleh menelefon ke 03-33256868 atau di laman media sosial Instagram Premiere Hotel.

Artikel Lain Untuk Di Baca