Diheret Dan Dihentak, Mahkamah Koroner Putuskan Kematian Muhammad Adib Adalah Disebabkan Jenayah

Mahkamah Koroner Shah Alam dimaklumkan bahawa punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad sewaktu membacakan keputusan inkues Muhammad Adib memaklumkan bahawa Allahyarham juga telah diheret dan dihentak sekali gus membawa kepada kecederaan parah dalam insiden yang berlaku pada 27 November 2018 lalu.

Tambahnya lagi, kecederaan blunt chest trauma yang membawa kepada kematian anggota bomba itu bukan perbuatan sendiri.

Kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan FRU untuk mengawal rusuhan itu juga turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Mahkamah Koroner menyerahkan kepada Peguam Negara dan pihak polis untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Untuk rekod, seramai 30 orang saksi termasuk beberapa saksi pakar sudah dipanggil memberi keterangan sewaktu prosiding inkues bermula 11 Februari lalu.

Ia dikendalikan oleh Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin manakala, keluarga Muhammad Adib diwakili peguam Syazlin Mansor, Yahaya Othman, Kamaruzaman A Wahab dan Ahmad Taufiq Baharum.

Tiga Peguam Kanan Persekutuan iaitu Suzana Atan, Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah dan Afiq Zainal Abidin mewakili Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca