Dihalang Guna Tandas Pesawat, Wanita Ini Terpaksa Duduk Beralaskan Air Kencing Sendiri Selama 7 Jam

Gara-gara tidak dibenarkan menggunakan tandas, seorang wanita mendakwa dia terpaksa duduk beralaskan air kencingnya sendiri selama tujuh jam.

Wanita yang berusia 26 tahun itu dipercayai diperlakukan sedemikian dalam penerbangan Air Canada dari Bogota, Colombia ke Dublin, Republik Ireland.

Menurut laporan portal Mirror, wanita itu sudah beberapa kali memohon kebenaran daripada anak kapal untuk menggunakan tandas namun dia dihalang.

“Saya bertanya sebanyak empat kali dalam tempoh dua jam sama ada boleh menggunakan tandas atau tidak.”

“Saya sudah tidak dapat bertahan lagi, kemungkinan besar berlaku ‘kemalangan’ jika mereka tidak benarkan saya gunakan tandas.”

“Saya bertegas namun diarah kembali ke tempat duduk dan akhirnya berlakulah ‘kemalangan’ itu,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Wanita berkenaan terpaksa duduk beralaskan air kencing sendiri sehingga pesawat tiba di Toronto.

“Saya sangat malu dan kecewa dengan kru pesawat yang mengabaikan saya sepanjang penerbangan,” ujarnya lagi.

Disebabkan ‘kemalangan’ itu, dia dikatakan terpaksa menyewa bilik hotel yang bertempat di bandar Kanada untuk mandi dan menyalin pakaian.

Aduan telah dibuat kepada syarikat penerbangan berkenaan ketika wanita itu dalam perjalanan pulang.

Dalam pada itu, Air Canada telah menawarkan baucar bernilai RM1,600 kepada wanita tersebut untuk penerbangan seterusnya. Namun begitu, dia menolak baucar itu kerana berasakan ia tidak setimpal dengan perasaan malu yang terpaksa ditanggungnya sepanjang perjalanan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca