Cheng Lu, seorang gadis yang memiliki muka comel dengan fizikal berotot mengalahkan lelaki ini berjaya curi perhatian rata-rata warganet.
Walaupun cuma mempunyai ketinggian kira-kira 5 kaki (152 sentimeter), Cheng Lu berupaya untuk mengangkat bebanan seberat 120 kilogram iaitu 2 kali ganda berbanding berat badannya.
Kekuatan yang dimilikinya itu sekali gus memberi gelaran ‘King Kong Barbie’ kepada Cheng Lu. King Kong merujuk kepada keupayaannya yang luar biasa itu manakala Barbie pula merujuk kepada wajahnya yang sangat comel itu.
Suatu ketika dahulu, Cheng Lu yang merupakan penggemar warna merah jambu ini dikatakan seorang yang sangat pemalu.
Dia mula berkecimpung dalam bidang bina badan sewaktu di bangku sekolah selepas rakan sekelasnya memperkenalkan aktiviti tersebut kepadanya.
Cheng Lu kini meneruskan pengajian dalam bidang bina badan di Shenyang Sports College.
Gadis ini bercita-cita untuk menyertai lebih banyak pertandingan bina badan profesional dalam masa terdekat ini.
“Saya mempunyai dua sesi latihan setiap hari, fokus di bahagian-bahagian tertentu seperti dada, bahu, belakang badan, lengan dan paha,” katanya.
Cheng Lu mula berkongsi rutin gimnya di platform Kuaishou dan Douyin sejak lima bulan lalu dan setakat ini, dia mempunyai kira-kira 300,000 pengikut di laman berkenaan.