‘Diganggu’ Di Pusat Peranginan, Bella Astillah Kongsi Pengalaman Seram

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah baru-baru ini memuat naik satu video di laman Instagram di mana beliau berkongsi pengalaman dirinya bersama keluarga pernah diganggu oleh makhluk halus ketika berada di sebuah pusat peranginan.

Menerusi video tersebut, Bella yang berusia sembilan tahun pada waktu itu selesai menjalani penggambaran untuk satu album kanak-kanak bersama adiknya, Didi Astillah.

Bella dan Didi Astillah. Sumber: Instagram Bella Astillah

Pihak produksi telah menyediakan tempat penginapan iaitu satu unit kondominium untuk Bella dan keluarga bermalam berhampiran dengan lokasi penggambaran mereka.

Ketika tiba di tempat penginapan berkenaan, kawasan kondominium itu dipenuhi kereta sehingga Bella dan ahli keluarganya terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan berdekatan.

“Sebaik sahaja tiba di lif, saya terhidu bau sangat busuk. Saya pun terus mencari mana punca bau tersebut sehingga terjumpa satu tangga gelap dan penuh dengan plastik hitam.

Pada malam itu, ibu ke tandas dan dia terlihat seorang wanita berambut panjang berjurai tidak menunjukkan wajah sedang duduk dalam air yang berwarna merah seperti darah di dalam bathtub,” ujarnya.

Tambah Bella lagi, ibu beliau turut meracau dan mencekik dirinya sendiri dengan sekuat hati sehingga terpaksa ditampar oleh bapanya yang cuba menyelamatkan ibunya.

“Tidak cukup dengan itu, ibu sekali lagi diganggu apabila kakinya ditarik kuat seperti dalam cerita seram,” tambahnya.

Sumber: Instagram Bella Astillah

Penyanyi Tenang itu kemudiannya berkata mereka sekeluarga tidak dapat tidur dan hanya menunggu waktu subuh untuk pulang kerana sudah tidak tahan dengan gangguan berkenaan.

Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah kawasan letak kereta kondominium yang kelihatan penuh pada waktu malam itu sebenarnya kosong dan sunyi seperti tiada siapa yang menginap di tempat tersebut.

Bella turut menjelaskan bahawa ia merupakan pengalaman mistik yang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini. Bella turut mencabar Didi Astillah, Zahiril Adzim dan Vicha Saywho untuk berkongsi kisah seram mereka. Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Bella Astillah, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca