Didakwa Tahan Pesakit ‘Sihat’ Di ICU, Ini Respons KKM

Selepas video seorang pesakit COVID-19 yang mendakwa dirinya ditahan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang walaupun beliau kelihatan sihat tular, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberikan penjelasan menerusi sebuah hantaran di laman Facebook.

Menurut KKM, pesakit yang dikenali sebagai Affendy Mohd Yusof dimasukkan ke ICU kerana beliau disahkan positif COVID-19 tahap 4. Hasil pemeriksaan awal menunjukkan penurunan kadar oksigen dalam darah Affendy berada pada tahap membimbangkan.

Rawatan terapi oksigen sudah dijalankan tetapi pemeriksaan lanjut mendapati keadaan pesakit bertambah kritikal dan perlu distabilkan menggunakan bantuan pernafasan ventilator.

Walaupun pesakit dan ahli keluarga sudah dimaklumkan akan keadaan kritikal terbabit, lelaki itu tetap menolak untuk menerima rawatan dan berkeras mahu pulang atas risiko sendiri.

Walau bagaimanapun, pihak hospital tidak dapat membenarkan pesakit pulang ke rumah kerana risiko beliau menyebarkan COVID-19 kepada orang lain dan keadaannya yang kritikal.

Menjawab dakwaan Affendy tidak diberikan makan selama empat hari, pihak hospital menafikan perkara berkenaan dengan mengatakan pesakit di ICU diberikan makanan dalam bentuk cecair seperti susu untuk memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

Buat anda yang masih keliru, Affendy mendakwa ‘dipaksa’ untuk tinggal di ICU Hospital Pulau Pinang walaupun beliau kelihatan sihat. Menerusi perbualannya bersama admin Gerakan Post-Mortem COVID-19 (GPMC) iaitu Kabul Idris yang dilakukan secara langsung, Affendy menjelaskan bahawa beliau datang ke hospital untuk saringan COVID-19 sebelum dirinya dipaksa dimasukkan dalam ICU.

Beliau mendakwa telah dipaksa dimasukkan dalam ICU kerana pihak hospital mengatakan kadar oksigen dirinya rendah. Atas sebab itu, Affendy telah menghubungi pihak GPMC untuk membantu dirinya yang ditahan di dalam ICU supaya beliau dapat keluar dari hospital.

Tidak berhenti di situ, Affendy mendakwa dirinya tidak diberikan makanan selama empat hari sejak dimasukkan ke ICU. Affendy juga difahamkan tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 dan mendakwa mungkin itu sebenarnya sebab dirinya ditahan dalam ICU.

Kabul berkata Affendy kelihatan baik sahaja kerana boleh bercakap secara langsung dan menasihatkan lelaki itu untuk meminta isterinya membawa beliau pulang ke rumah.

Admin GPMC itu kemudiannya berkata akan cuba membantu Affendy sehabis baik supaya lelaki itu dapat keluar dari hospital. Menerusi tinjauan kami di laman Facebook, rata-rata warganet berkata pesakit tersebut boleh tandatangan borang At Own Risk Discharge (AOR) sekiranya beliau merasakan dirinya ‘sihat’.

Sumber: Facebook GPMC Backup

AOR merujuk kepada pesakit discaj (keluar) dari hospital dengan risiko sendiri. Dalam erti kata lain, pesakit tidak dapat keluar dari hospital lagi tetapi meminta untuk dikeluarkan dengan syarat perlu menanggung risiko sendiri. Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca