Didakwa Punca Penunggang Motosikal Meninggal Dunia, Lelaki Ini Dipukul Orang Awam

Seorang jurutera warganegara China cedera dipukul orang awam selepas didakwa menyebabkan seorang penunggang motosikal meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting-Port Dickson.

Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kuala Langat iaitu Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang pada Selasa lalu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, kereta jenis Daihatsu Charade, motosikal SYM 110 dan lori treler.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan ini berlaku dipercayai apabila Toyota Hilux dipandu seorang lelaki warga China berumur 53 tahun itu membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Daihatsu Charade dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun yang berada di belakang Toyota Hilux terpaksa masuk ke lorong kiri untuk mengelak daripada melanggar kenderaan pacuan empat roda itu.

Namun, pemandu Daihatsu Charade memasuki lorong berkenaan tanpa melihat dahulu keadaan lalu lintas di sebelah kiri lantas mengakibatkan pelanggaran dengan motosikal yang ketika itu ditunggang dekat lorong berkenaan,” ujarnya.

Pelanggaran itu telah menyebabkan penunggang motosikal yang merupakan seorang penghantar barang menghembuskan nafas terakhir selepas mangsa tercampak ke bawah sebuah lori treler yang berada di lorong kiri jalan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, mengsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan alat sulit.

“Mangsa kemudian digilis lori yang dipandu seorang lelaki berumur 52 tahun,” tambahnya.

Sumber: The Vocket

Ahmad Ridhwan turut memaklumkan pemandu Toyota Hilux itu kemudiannya dipukul orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membuat pusingan U di kawasan larangan dan mengakibatkan kemalangan tersebut.

“Pemandu terbabit cuma mengalami kecederaan ringan akibat dipukul oleh orang awam yang tidak berpuas hati terhadapnya akibat kemalangan tersebut.

Tindakan saman telah dikeluarkan ke atas suspek di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang tiada lesen memandu yang sah dan dia turut disiasat di bawah Seksyen 41(1) akta sama,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Ridhwan berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kes pukul tersebut.

Menurut Ahmad Ridhwan lagi, kertas siasatan bagi kes berkenaan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas memperoleh laporan pakar untuk mendapatkan arahan pertuduhan.

“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fatin Husna Binti Khairuzzaman di talian 017-301 2621 atau 03-3187 2222,” tambahnya lagi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca