Didakwa Miliki Saham Dengan Jumlah Yang Melampau, Ini Respons Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tampil mempertahankan dirinya dengan menafikan dakwaan berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat.

Memetik laporan Malaysia Now, Azam berkata tuduhan itu dibuat untuk memburukkan reputasinya yang sudah bekerja lebih 30 tahun bersama SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang didakwa berniat jahat terhadapnya dan pemilik akaun Twitter Edisi Siasat berkemungkinan besar akan diheret ke mahkamah.

Utusan Malaysia melaporkan Azam telah memberitahu panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun sahamnya telah digunakan oleh adiknya iaitu Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli.

Menurut Azam lagi, beliau mengambil tindakan berdiam diri kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila membenarkan adiknya untuk membuat urusan urus niaga menggunakan akaunnya bagi membeli saham di pasaran terbuka.

“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya. Saham-saham syarikat yang dibeli oleh adik saya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

Sumber: Malaysiakini

Walau bagaimanapun, saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau (Nasir) kemudiannya.

Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham. Jika ia satu kesalahan, beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak LPPR yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang turut berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa konflik kepentingan atau manfaat kewangan dalam pemerolehan saham tersebut berdasarkan laporan Malaysiakini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca