Didakwa Miliki Dadah, Pelawak Tauke Jambu Dan 4 Rakan Mengaku Tidak Bersalah

Pelawak terkenal tanah air iaitu Tauke Jambu dan empat orang rakannya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin semalam.

Memetik laporan Bernama, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria dan empat orang rakannya iaitu Muhammad Azman Johar, Brandon Cheong Kai Szern, Salimah Nasuha Gusti Hassan dan Lee Kim Yoon bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Sumber: Berita Perak

Kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram di Menara UP, Jalan Puchong, Kuala Lumpur pada 10 April lalu.

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan ia dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, pegawai pendakwa iaitu ASP Nom Phot Prackdit mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Tauke yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan pendapatannya terjejas dan ini merupakan kesalahan pertamanya. Selain Tauke, keempat-empat tertuduh lain turut membuat rayuan jaminan rendah.

Pihak mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,700 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes adalah pada 9 Jun ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca