Didakwa Membunuh, Lelaki Langgar Syed Muhammad Danial Di Lebuh Raya PLUS Berdepan Hukuman Mati

Seorang lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh seorang pegawai bank dalam satu kemalangan berhampiran persimpangan Southville City, Kajang pada dua minggu lepas.

Tertuduh yang dikenali sebagai Yew Wei Liang mengangguk faham pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Walau bagaimanapun, pengakuan tidak direkodkan kerana ia bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang berusia 41 tahun itu didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir di kilometer 293.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur- Seremban pada 10 Ogos 2019 antara jam 1 petang hingga 2 petang.

Dakwaan tersebut dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh yang diwakili peguam S. Selvam mengemukakan aduan di hadapan majistret mengikut Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah agar mendengar aduan mereka berhubung satu insiden yang menimpa anak guamnya.

Selvam mendakwa, anak guamnya yang bekerja dalam bidang IT telah didera dan mengalami kecederaan sewaktu tempoh reman oleh polis sehingga perlu dibawa ke Hospital Kajang pada 13 Ogos lalu untuk mendapatkan rawatan.

Jelasnya lagi, anak guamnya telah dipaksa mengaku bersalah atas tuduhan membunuh sedangkan anak guamnya tetap dengan pendiriannya bahawa ia hanya merupakan satu kemalangan jalan raya.

Menurut laporan Astro Awani, peguam Varghese Onny turut mendakwa bahawa pihaknya dimaklumkan oleh bapa tertuduh bahawa bapa tertuduh telah menerima satu panggilan telefon pada 18 Ogos lalu yang dikenal pasti merupakan nombor telefon isteri tertuduh sedangkan telefon tersebut berada dalam simpanan polis.

“Sehubungan itu kami memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk mendengar aduan ini,” katanya.

Afidah kemudiannya menetapkan tarikh 27 September depan untuk sebutan kes dan permohonan itu juga bakal didengar pada tarikh yang sama.

Pada masa yang sama, Afidah turut memerintahkan peguam tertuduh mengemukakan laporan hospital mengenai kecederaan berkaitan isu yang dibangkitkan.

Difahamkan, Wei Liang dihantar ke penjara Sungai Buloh sehingga kes ini selesai.

Terdahulu, Syed Muhammad Danial maut dilanggar selepas terbabit dalam perselisihan faham dengan tertuduh. Insiden yang berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari itu berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca