Didakwa Mampu Bertahan Daripada Sebarang Bencana Alam, Ini Kereta Api Laju Indonesia

Pada bulan April yang lalu, negara Indonesia telah memperlihatkan kepada dunia kereta api laju (Kereta Cepat Jakarta-Bandung/KCJB) pertama milik negara tersebut yang boleh membawa penumpang dari Jakarta ke Bandung dalam tempoh sekitar 40 minit sahaja.

Menurut laporan yang dikongsikan oleh CNBC Indonesia, kereta api tersebut didakwa mampu bertahan dalam pelbagai jenis situasi bencana alam seperti angin kencang, hujan lebat, gempa bumi, objek asing dan sambaran kilat.

Melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden Direktur KCIC, Dwiyana Slamet Riyadi, beliau menyatakan bahawa pihak mereka telah mencipta pelbagai teknologi canggih yang telah dipasang pada landasan serta gerabak kereta api.

Beliau turut mengakui bahawa pihaknya telah menyediakan pelbagai instrumen bagi melindungi kereta api laju tersebut daripada sebarang ancaman bahaya dengan membangunkan Pusat Pemantauan Bencana, sensor pengesan ancaman di sepanjang laluan KCJB dan Terminal Pemantauan Bencana di Tegalluar, Jawa Barat sebagai pusat pengurusan data bencana.

Selain itu, untuk mengukuhkan lagi keselamatan pada kereta api laju tersebut, ia turut dilengkapi dengan sistem pengawasan CCTV, sistem perlindungan kilat, sensor pengesan gempa bumi, hujan lebat serta angin kencang dan sistem perlindungan objek asing.

Hal ini juga sebagai persediaan sekiranya kereta api laju itu terputus bekalan elektrik utama, beliau menegaskan pihak mereka telah bersedia dengan menyediakan bekalan elektrik sandaran.

Bekalan ini terletak di setiap gerabak yang mampu membantu kereta api laju beroperasi seperti biasa selama maksimum 120 minit selepas bekalan elektrik utama terhenti.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca