Didakwa Langgar Arahan PKP, Ini Penjelasan Daripada Fikry Ibrahim

Fikry Ibrahim membuat pengakuan bahawa dirinya adalah individu dalam satu video tular yang diarahkan untuk membuat pusingan semula selepas gagal menunjukkan bukti alamat kediaman dalam satu sekatan jalan raya pada awal April lalu.

Pelakon Rahsia Hati Perempuan itu memberi penjelasan sebenar mengenai isu tersebut dalam satu temu bual bersama Astro Gempak baru-baru ini.

“Sebenarnya saya keluar seorang diri sahaja untuk membeli barang. Sekiranya betul tindakan itu salah, kenapa saya tidak ditahan semasa dalam perjalanan untuk beli barang sedangkan saya lalu roadblock yang sama?

Saya ditahan semasa dalam perjalanan untuk pulang ke rumah sahaja tetapi saya faham tugas seorang polis. Atas sebab itu, saya ikut arahan sebagai rakyat Malaysia dengan membuat pusingan semula.

Saya tidak akan keluar tanpa alasan yang munasabah dan membahayakan kesihatan ibu saya yang kini berusia 70 tahun. Saya rasa saya tidak buat salah pun sebab saya masih dalam kawasan lingkungan radius 10 kilometer,” katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Fikry tidak kecewa kerana menerima kecaman hebat daripada warganet kerana dia faham situasi mereka pada waktu itu.

“Sejujurnya, saya tidak marah pun sebab saya faham orang sedang tertekan di rumah pada waktu itu. Saya cuma terkejut apabila menerima satu mesej yang mengandungi kata-kata yang sangat kasar daripada seorang kanak-kanak di Instagram.

Saya sebenarnya tidak mahu keluarkan kenyataan pada waktu itu kerana saya bimbang keadaan akan bertambah riuh tetapi semuanya hanya salah faham sahaja,” tambahnya.

Walaupun wajah lelaki itu tidak kelihatan dalam video tular berkenaan, ramai orang mula membuat spekulasi bahawa individu yang memakai topeng muka itu ialah pelakon Fikry Ibrahim berdasarkan suara dan maklumat yang diberikan kepada polis.

Sebagai peringatan, anda diminta untuk patuhi arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan kerana kesihatan anda dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan sepanjang masa.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan selebriti tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca