Didakwa Kerana Harta, Model Hong Kong Abby Choi ‘Pergi’ Dalam Keadaan Tragis

Wajah model dan pempengaruh media sosial terkenal Hong Kong Abby Choi Tin-Fung dilihat menghiasi muka hadapan majalah fesyen dan gaya hidup mewah digital L’Officiel Monaco kira-kira dua minggu lalu.

Dunia fesyen dikejutkan dengan berita kehilangan sosialit berusia 28 tahun itu pada Selasa lalu. Tiga hari kemudian, jasad mendiang ditemui tanpa kepala di sebuah rumah kampung di Lung Mei Tsuen, Tai Po, Hong Kong.

Sumber: Instagram @xxabbyc

Bukan hanya terkenal di Hong Kong, ikon fesyen yang mempunyai gaya unik tersendiri itu turut mempunyai peminat di seluruh dunia.

Abby sering dilihat menghadiri acara Minggu Fesyen Paris dan juga tampil dalam beberapa majalah terkenal seperti Elle, Vogue dan Harper’s Bazaar.

“Saya adalah seorang individu yang sentiasa mengambil inspirasi dan mencuba gaya baharu.

Kadangkala saya juga cuba menggayakan busana lebih mewah dengan gaya suai dan padan untuk tampak berbeza,” kata Abby menerusi wawancara bersama L’Officiel Monaco.

Kehidupan glamor Abby berakhir dengan tragis apabila mendiang menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan kejam yang dipercayai telah didalangi oleh bekas bapa mentuanya.

Bekas bapa mentua tidak puas hati dengan cara pengendalian hartanah mewah

Sumber: Instagram @xxabbyc

Memetik laporan CNA, pihak polis menemui beberapa bahagian tubuh Abby di sebuah rumah tiga tingkat di Tai Po bersama pemotong daging dan gergaji elektrik.

Menurut Sinar Harian, laporan media antarabangsa mendakwa bekas bapa mentua Abby tergamak mengambil nyawa sosialit itu tanpa perikemanusiaan kerana tidak berpuas hati dengan cara pengendalian hartanah mewah.

Lebih memilukan lagi, jasad mendiang telah dipotong dan disorokkan di beberapa tempat berasingan.

Kepala dan rusuk mangsa ditemui dalam periuk

Sumber: Instagram @xxabbyc

Memetik laporan Channel News Asia, pihak polis telah melakukan pencarian besar-besaran di sebuah rumah kampung di Tai Po dan tanah perkuburan di Tseung Kwan O pada hujung minggu lalu.

Superintendan Alan Chung dari unit jenayah wilayah Kowloon Barat berkata mangsa dipercayai diserang ketika berada dalam sebuah kereta yang mempunyai tujuh tempat duduk.

Beliau turut berkata bahagian tubuh mangsa telah ditemui dalam salah satu daripada dua periuk sup besar yang diambil pihak polis dari rumah tiga tingkat di Lung Mei Tsuen pada Jumaat lalu.

Periuk-periuk sup itu dibawa ke bilik jasad pada Sabtu lalu dan pakar forensik menemui kepala dan tulang rusuk ketika meneliti kandungannya.

“Apabila kami menemui dua periuk sup di tempat kejadian, salah satu periuk itu hampir penuh dan ia dipenuhi lemak tebal, sayur-sayuran hijau, lobak merah dan daging dipercayai daging manusia.

Pakar forensik menyarankan kami supaya tidak menjalankan sebarang pemeriksaan di tempat kejadian untuk mengekalkan bahan bukti. Kami memutuskan untuk membawa periuk-periuk sup itu ke bilik jasad untuk pemeriksaan lanjut,” ujar Alan.

Tulang manusia turut ditemui di dalam periuk yang lebih kecil. Pihak polis akan menggunakan ujian DNA dan rekod pergigian untuk menentukan sama ada jasad itu adalah milik Abby.

Alan turut berkata lubang berukuran kira-kira tujuh sentimeter kali enam sentimeter ditemui di bahagian belakang tengkorak itu.

Menurut Alan lagi, pakar forensik percaya ia boleh menjadi punca wanita itu menghembuskan nafas terakhir. Pihak polis telah menemui kaki mangsa yang disumbat ke dalam peti sejuk.

Dalam pada itu, pihak polis akan meneruskan usaha mencari bahagian tubuh lain yang hilang termasuk badan dan tangan mendiang.

Abby tanggung keluarga bekas suami

Sumber: Dimsum Daily

Walaupun telah membawa haluan sendiri, Abby dikatakan masih menanggung bekas suaminya Alex Kwong Kong-chi dan keluarga lelaki itu.

Abby telah membeli hartanah di Kadoorie Hill di Ho Man Tin di bawah nama bekas bapa mentuanya pada Julai 2019.

Nilai pasaran hartanah mewah yang terletak di tengah Kowloon, Hong Kong itu kini difahamkan bernilai kira-kira HK$67 juta (RM38,175,934) menurut laporan Dimsum Daily.

Abby memaklumkan rancangannya untuk menjual hartanah mewah tersebut pada tahun lalu.

Rancangan Abby untuk menjual semula hartanah di Kadoorie Hill itu telah mencetuskan kemarahan keluarga bekas suaminya.

Wanita itu turut berjanji untuk menempatkan keluarga Alex ke rumah lain tetapi rancangan itu mencetuskan bantahan daripada mereka sehingga membawa kepada pertengkaran mulut.

Siasatan pihak berkuasa turut mendapati Abby tidak mendaftarkan perkahwinan terbaharunya pada 2016 bersama Tam Chuk Kwan yang merupakan anak pengasas TamJai Yunnan Mixian.

TamJai Yunnan Mixian adalah rangkaian restoran kasual di Hong Kong dan ia beroperasi di China.

Kegagalan Abby mendaftarkan perkahwinannya bersama Chuk Kwan akan menyebabkan aset miliknya bakal diwarisi dua anaknya bersama Alex.

Sebelum Abby dilaporkan hilang, wanita itu dikatakan menaiki kereta bersama bekas abang iparnya yang bekerja sebagai pemandunya.

Media tempatan bagaimanapun melaporkan Abby tidak sempat mengambil anak perempuannya dan ia adalah kali terakhir wanita itu dilihat masih hidup.

4 tertuduh tidak dibenar ikat jamin

Pihak polis Hong Kong berkata mereka telah menahan Alex, bapanya Kwong Kau dan abangnya Anthony semalam kerana didakwa telah mengambil nyawa Abby.

Bekas ibu mentua Abby turut berdepan tuduhan menghalang keadilan. Mahkamah Kowloon Barat memutuskan keempat-empat tertuduh tidak dibenar ikat jamin.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu kepada 8 Mei. Pihak polis Hong Kong turut menahan seorang lagi suspek semalam iaitu kekasih Kwong Kau yang dikenali sebagai Ng.

Ng didakwa menyewa bersama bekas bapa mentua Abby di tingkat bawah rumah pangsa yang terletak di Lung Mei Tsuen. Tertuduh berusia 47 tahun itu disyaki telah membantu menyembunyikan Kwong daripada polis.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca