Ibu kepada pelakon cilik Puteri Rafasya bakal mengambil tindakan undang-undang selepas anak perempuannya itu cedera parah dalam insiden prank tarik kerusi yang didakwa berlaku di sebuah set penggambaran.
Memetik laporan CNA, Fatin Aliza Salmi telah mendapatkan khidmat seorang peguam untuk mewakili Rafasya dan sedang menunggu laporan perubatan anak perempuannya sebelum menimbangkan langkah seterusnya.
Insiden prank tarik kerusi Rafasya

Terdahulu, pelakon Jaga Aku Selamanya itu dilaporkan lumpuh seketika kerana terjatuh akibat kerusi yang hendak didudukinya itu telah ditarik oleh seorang kanak-kanak perempuan lain yang berada di set penggambaran.
Fatin berkata insiden itu berlaku pada 22 Februari lalu ketika kru produksi bersama Rafasya dan ibu bapa kepada kanak-kanak yang didakwa menarik kerusi tersebut berada di set penggambaran. Kanak-kanak itu dipercayai lebih muda daripada Rafasya.
Pada 26 Februari lalu, wanita itu kemudiannya berkongsi di Instagram tentang kecederaan yang dialami anak perempuannya selepas dia berkata tiada tindakan diambil susulan kejadian itu.
Rafasya mengalami kecederaan pada tulang pinggul dan pinggang serta terpaksa memakai lampin apabila perlu membuang air kecil atau besar.
Fatin tidak akan dedah identiti pelaku di media sosial

Fatin tidak akan mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit atau ibu bapanya di media sosial atas dasar simpati dan bimbang warganet akan memberi pelbagai reaksi.
Wanita itu turut berkata ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan hanya meminta maaf kepadanya ketika pertemuan secara peribadi pada 13 Mac lalu. Pertemuan itu dihadiri kedua-dua pihak terbabit dan wakil pihak produksi serta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
“Sehingga kini, ibu bapa (kanak-kanak terbabit) tidak menyatakan sebarang hasrat untuk melawat anak saya yang sudah lapan hari terlantar di hospital. Saya tidak mendapat sebarang SMS, WhatsApp atau panggilan daripada mereka.
Apa yang mereka fikirkan? Selepas meminta maaf, biarkan begitu saja? Saya tak kata saya terima permohonan maaf mereka. Itu tidak berlaku. Saya hanya mendengar kerana terlalu emosi untuk bercakap. Saya sebenarnya tidak sanggup melihat wajah mereka,” katanya.

Menurut Fatin lagi, beberapa pihak yang hadir ketika pertemuan pada 13 Mac itu menegaskan anak perempuannya jatuh dari kerusi sendiri. Ibu bapa kepada kanak-kanak itu juga menawarkan RM120 sebagai ‘bantuan’ untuk tujuan perubatan.
“Jadi apabila saya mendengar orang membuat cerita seperti itu, saya hanya memberitahu mereka bahawa saya akan serahkan kepada peguam saya.
Sesetengah daripada mereka berkata, “Mengapa perlu bawa (kes) ini ke mahkamah?” Saya tidak tahan dengan soalan itu kerana tiada tindakan diambil. Apa yang awak jangkakan? Berapa lama RM120 itu akan membantu?” ujar Fatin lagi.
Fatin berkata jumlah wang itu tidak akan menampung kos x-ray anaknya dan tidak mahu mendedahkan kos yang telah dibelanja untuk perubatan Rafasya setakat ini.
“Kita serahkan perkara ini kepada peguam. Ini sebenarnya isu besar – isu keselamatan dengan set produksi. Saya tidak mahu bercakap banyak tentang produksi ini yang saya rasa juga tidak mahu bertanggungjawab,” tambahnya.
Rafasya masih trauma

Pada 10 Mac lalu, Fatin berkongsi bahawa Rafasya telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami masalah inkontinens (keadaan tidak upaya mengawal buang air kecil atau besar).
Pelakon kanak-kanak itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur untuk dimasukkan ke wad bagi pemerhatian lanjut.
Rafasya dimasukkan ke Hospital Tunku Azizah selama lapan hari dan dibenarkan keluar pada 17 Mac lalu. Walaupun berasa lega dengan keadaan Rafasya yang sudah bertambah baik, wanita berkenaan bagaimanapun masih bimbang tentang bagaimana kecederaan itu boleh membawa penyakit mengejut lain pada masa hadapan.
Buat masa ini, pelakon yang terkenal sebagai Kenit dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu sedang belajar untuk berjalan secara perlahan-lahan tanpa tongkat dan dijadualkan menjalani fisioterapi dan janji temu doktor susulan dalam beberapa hari akan datang.
Tegas Fatin lagi, Rafasya masih memikirkan kejadian itu dan kadang-kadang memberitahunya bahawa dia tidak rasa seperti sepatutnya duduk di atas kerusi.
“Dia tidak rasa dia sepatutnya berada di beberapa tempat. Saya kata, ‘Tidak, kerusi ini untuk awak dan awak sepatutnya berada di sana, bukan di tempat lain.’ Dan jika dia masih tidak boleh teruskan, saya mungkin perlu membawanya ke pakar psikiatri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fatin menggesa ibu bapa dan guru untuk mendidik kanak-kanak bahawa menarik kerusi sebagai prank atau gurauan adalah amat berbahaya.
“Ia bukan prank apatah jika anda bersedia untuk melumpuhkan anak-anak orang lain dan pergi ke mahkamah. Kita tidak boleh salahkan kanak-kanak 100 peratus jadi kita perlu mengajar mereka. Mereka fikir ini melucukan tetapi ia tidak melucukan,” tambahnya.
Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: