Didakwa ‘Hilang’ Ketika Misi Bantuan, Ini Perkembangan Terkini Ustaz Ebit Lew

Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan perkembangan terkini Ustaz Ebit Lew yang difahamkan masih berada di Gaza bagi membantu rakyat Palestin.

Nama pendakwah terkenal itu mula menjadi bualan ramai selepas beliau dipercayai hilang ketika melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. Spekulasi itu timbul selepas orang ramai mendapati akaun Facebook Ustaz Ebit Lew tidak lagi dikemas kini sejak 27 Mei lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menteri Luar Negeri iaitu Datuk Kamarudin Jaafar berkata pihaknya akan memeriksa lanjut tarikh penerbangan pulang pendakwah itu ke tanah air.

Ebit Lew dilaporkan telah berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Pada keesokan harinya iaitu 26 Mei, Kamarudin memaklumkan bahawa misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew itu telah menerima kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Menurut beliau lagi, semua persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ebit Lew sendiri menerusi kerjasama rapat dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mesir.

Walau bagaimanapun, tindakan Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosial beliau sejak berlepas ke Mesir menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Untuk pengetahuan anda, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli turut memaklumkan bahawa Ebit Lew berada dalam keadaan baik setelah penyanyi rap itu berjaya menghubungi pendakwah terkenal berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

Perkembangan terkini Ustaz Ebit Lew

Sumber: Instagram @ebitlew

Menerusi hantaran di laman Instagram, Ebit Lew menjelaskan bahawa semuanya berada dalam keadaan baik. Tinjauan kami di laman Instagram mendapati rata-rata warganet menzahirkan kelegaan selepas menerima berita bahawa pendakwah terkenal itu berada dalam keadaan selamat:

“Semoga Allah sentiasa melindungi Ustaz dan team di sana.” – @bettyrahmad

“Lega Ustaz update. Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segalanya. Selamat pulang nanti ustaz.” – @rosyai_mirul

“Semoga dipermudahkan urusan Ustaz.” – @zahiraanatashaa

Semoga Ustaz Ebit Lew dan semua yang terlibat dalam bantuan kemanusiaan ini sentiasa selamat dan sihat.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Ustaz Ebit Lew, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca