Didakwa Halang Laluan Ambulans, Ini Penjelasan Pihak Polis Berkaitan Isu Tersebut

penjelasan berkaitan vip

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor memberikan penjelasan mengenai sebuah rakaman video memaparkan ambulans yang terpaksa berhenti untuk memberikan laluan kepada kereta VIP yang tular di media sosial semalam.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian warganet dan kebanyakannya berasa terkejut dengan tindakan tidak mengutamakan laluan kepada ambulans terlebih dahulu.

Kejadian tersebut berlaku ketika rombongan Perdana Menteri Malaysia menuju ke Hulu Langat bagi meninjau kerja-kerja pembersihan di Taman Sri Nanding, Masjid Al-Mustaqqim dan Batu 16.

Sekurang-kurangnya 19 kenderaan dilihat sebahagian daripada konvoi tersebut untuk bantuan mangsa banjir pada 11.30 pagi semalam.

Ketua jabatan Supt. Azman Shari’at dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat kerana kenderaan utama dalam konvoi kerajaan itu sudah menghampiri simpang.

Oleh yang demikian, anggota trafik membuat keputusan mengikut Peraturan Trafik No. 9 LN 166/1959 Akta Pengangkutan Jalan 1987 .

“Dalam situasi yang dirakam menerusi video, terdapat risiko kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya lain sekiranya kenderaan pacuan empat roda Bulan Sabit Merah Malaysia dan ambulans dibenarkan keluar dari simpang.

“Sebab itu konvoi kerajaan yang mempunyai anggota polis di jalan utama diberi keutamaan bagi mengelak sebarang kemalangan berdasarkan penilaian awal anggota,” katanya.

Tambahan pula, sebaik sahaja konvoi kerajaan melepasi simpang tersebut, ambulans itu telah diberikan keutamaan untuk keluar.

Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa diarahkan memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans yang membawa pesakit.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca