Didakwa Guna Budaya India Untuk Raih Keuntungan, Mira Filzah Tampil Mohon Maaf

Semalam, seorang pengguna laman Twitter telah mendakwa pelakon Mira Filzah cuba mengeksploitasi budaya kaum India dengan memakai set lengkap pakaian tradisional ‘lehenga’ bagi mempromosikan produk kanta mata.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezama, 27, telah membalas kenyataan individu tersebut dengan memohon maaf sekiranya tindakannya itu tidak disenangi masyarakat India.

Mira turut menjelaskan bahawa pemilihan konsep bagi tujuan promosi produk kanta mata berkenaan dibuat kerana minatnya terhadap dunia Bollywood sejak kecil lagi.

“Saya minta maaf sekiranya apa yang saya buat itu salah. Saya membesar dengan filem dan lagu Bollywood, saya adalah peminat Bollywood sejak kecil.

“Malah saya hafal dan buat terjemahan lirik untuk memahami lagu dengan lebih mendalam. Sebagai peminat Bollywood, sejak kecil saya simpan impian untuk memakai set lehenga seperti Madhuri Dixit dan Aishwarya Rai yang dipakai dalam filem.

“Zaman sekolah menengah lagi saya sudah berangan! Tetapi saya tidak tahu bila dan untuk apa harus dipakai. Apabila saya ditawarkan untuk sesi fotografi lens Lavue ini, mata Aishwarya Rai terlintas di fikiran saya.

“Saya suka melihat matanya yang berwarna hijau dan biru dalam filem Umroa Jaan. Oleh itu, saya mencadangkan tema Bollywood kepada pemilik jenama tersebut,” tulis pelakon filem Sangkar ini menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, individu yang yang melakukan tuduhan tersebut mengucapkan terima kasih kepada Mira Filzah kerana telah menjelaskan perkara yang sebenar.

Individu itu juga sempat mencadangkan kepada Mira agar menerangkan mengenai budaya setiap kaum terutama India, sekiranya mengenakan pemakaian sebegitu.

“Terima kasih sebab memohon maaf! Saya faham awak tidak berniat jahat dan seronok apabila mendapat tahu yang awak suka dan hormat budaya kami. Saya minta maaf sekiranya ciapan (tweet) saya membuatkan awak dibenci.

“Kami hanya minta pada masa hadapan, mungkin awak boleh cakap lebih mengenai budaya kaum India. Jika awak berhasrat untuk memakai pakaian kami, mungkin boleh dapatkan beberapa model India juga!

“Kerana yang kita mahukan hanyalah pengiktirafan untuk budaya kita dan mungkin awak boleh mendapatkan pakaian daripada milik orang India.

“Terima kasih sekali lagi atas permohonan maaf dan respon sopan daripada anda, sangat dihargai,” kata individu tersebut.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca