Didakwa Edar Ganja, Penyanyi Yasin Sulaiman Berdepan Hukuman Gantung Sampai Mati

Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sehingga mati selepas penyanyi nasyid dan komposer itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di rumahnya pada 24 Mac lalu.

Memetik laporan Berita Harian, tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, penyanyi Mimpi Laila itu didakwa telah melakukan kesalahan mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214g di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home di Kota Damansara, Selangor pada 24 Mac lalu.

Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati. Sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah disebat maksimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dalam pada itu, Yasin mengaku tidak bersalah untuk satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Tertuduh didakwa telah menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di tempat kediamannya pada 24 Mac lalu. Untuk pengetahuan anda, kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah telah mengendalikan pendakwaan kes manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Pihak mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin bagi kedua-dua prosiding itu dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca