Didakwa Cuba Sembunyikan Krisis COVID-19, Brazil Dikritik WHO

Semalam, kerajaan Brazil kembali menerbitkan jumlah korban negara itu akibat virus COVID-19. Hal ini demikian kerana, negara itu telah didakwa cuba untuk menyembunyikan krisis kesihatan yang meruncing.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dilaporkan berhenti menerbitkan jumlah korban akibat jangkitan baharu itu pada Jumaat.

Mereka mendakwa menggunakan metodologi baharu dan hanya akan melaporkan jumlah korban yang dicatatkan dalam 24 jam lalu di dalam buletin hariannya.

Tindakan negara itu telah mencetus kritikan berprofil tinggi kerana dianggap melanggar peraturan. Keputusan daripada Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, menyatakan negara itu perlu kembali menggunakan format lama.

Semalam, Kementerian Kesihatan Brazil mendedahkan jumlah korban telah meningkat sebanyak 1,272 orang dan ia menjadikan jumlah kumulatif angka korban menjadi 38,406 mangsa disebabkan COVID-19.

Jumlah itu berada di tempat ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Bagi jumlah jangkitan yang disahkan, ia meningkat kepada 739,503 orang, menjadikan ia kedua tertinggi di dunia selepas AS.

Dalam pada masa yang sama, pakar mengatakan jumlah ujian dilakukan kurang daripada jumlah sebenar di negara terbabit yang mempunyai 212 juta penduduk.

Malah, Kementerian Kesihatan negara itu enggan memberi jawapan apabila diajukan mengapa Brazil kembali menggunakan format lama dan rancangannya untuk masa depan.

Sebelum ini, Bolsonaro menganggap COVID-19 ini hanya virus selesema kecil dan mendakwa perintah berkurung hanya akan memburukkan ekonomi.

Selain itu, pada Jumaat lalu juga beliau mengancam untuk keluar daripada menganggotai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana menganggap badan itu mempunyai ‘ideologi berat sebelah’.

Kritikannya itu turut disokong oleh Menteri Luarnya, Ernesto Araujo yang mengatakan WHO tidak menekankan kebebasan, ketelusan dan koheren.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca