Didakwa Cuba Culik Kanak-Kanak Di Genting Highlands, 2 Warga Asing Ini Ditahan Polis

Seorang pengguna TikTok menjadi bualan ramai baru-baru ini selepas dia mendakwa anak pekerjanya hampir diculik sindiket penculikan kanak-kanak yang terdiri daripada sekumpulan wanita warga asing di Genting Highlands, Pahang.

Selepas video itu tular, pihak polis telah menahan dua orang wanita warganegara asing yang dikatakan terlibat dalam kes cubaan culik seorang kanak-kanak di Genting Highlands.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ketua Polis Daerah Bentong iaitu Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata pihak polis telah menahan dua orang warganegara asing yang berusia 42 dan 50 tahun pada 11.30 pagi semalam.

Sumber: Facebook POLIS Bentong

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong buka kertas siasatan kes tular di media sosial bahawa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik di Genting Highlands, Bentong, Pahang.

Satu laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa yang merupakan warganegara tempatan berusia 33 tahun pada 20 September 2022 lebih kurang jam 1.20 tengah hari.

Pihak polis telah merakam percakapan pengadu dan kesemua saksi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan.

Cubaan culik sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda.

Kertas siasatan terbabit akan dirujuk ke pihak Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Bentong itu turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing terutamanya di tempat yang sesak dengan orang ramai bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Sumber: Kosmo!

Buat anda yang masih keliru, seorang pengguna TikTok mendakwa terdapat dua orang wanita menghampiri salah seorang pekerja dan anaknya ketika dia membawa para pekerjanya bercuti di taman tema itu.

Sekumpulan wanita itu dilaporkan cuba menyorokkan anak pekerja tersebut di dalam kain panjang yang dipakai di kepala oleh salah seorang warganegara asing terbabit.

Sebaik sahaja selepas insiden itu berlaku, suami pekerja berkenaan segera memanggil polis dari bahagian kasino yang bertugas untuk mendapatkan pertolongan bagi siasatan lanjut.

Anda boleh tonton video penuh di sini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca