Didakwa Bantu Sajat Lolos Ke Thailand, Ini Respons Wan Besi

Wan Besi atau nama sebenarnya Wan Azhar Harun menafikan penglibatannya dalam kes penyeludupan keluar usahawan kosmetik sensasi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dari Padang Besar di Perlis sehingga ke Bangkok, Thailand.

Memetik laporan Utusan Online, Wan Besi bersama peguamnya, Zuhair Ahmad Zakuan hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada pukul 12.51 tengah hari semalam bagi membuat penafian terbabit dan keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Zuhair berkata anak guamnya mengetahui tentang tuduhan tersebut apabila lelaki berusia 51 tahun itu menerima panggilan telefon daripada rakannya yang menyatakan dia adalah pengkhianat negara kerana terlibat dalam kes Nur Sajat.

Menurut Zuhair lagi, laporan berita tersebut adalah tidak wajar dan amat dikesali kerana lelaki yang menetap di Padang Besar itu bekerja sebagai pengusaha ternakan lembu sejak 10 tahun lalu.

Wan Azhar Harun (kanan) bersama Zuhair Ahmad Zakuan. Sumber: Utusan Online

“Azhar juga ada terlibat dengan pembedahan jantung jadi dia agak uzur untuk melakukan perkara-perkara sedemikian. Oleh itu, kami datang pada hari ini untuk memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak terlibat seperti yang dilaporkan oleh akhbar tersebut. Polis juga mengatakan tidak ada arahan untuk menangkapnya. Maksudnya tidak ada kes,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zuhair turut berkata tuduhan sebagai pengkhianat negara adalah satu tuduhan yang besar dan amat serius. Tindakan selanjutnya akan dibincangkan bersama anak guamnya kemudian.

“Laporan polis mengenai perkara ini belum dilakukan dan akan dibuat kemudian,” tambahnya.

Dalam pada itu, Azhar berkata dia mengetahui tentang laporan akhbar tersebut daripada kawannya selepas pulang dari solat subuh pagi semalam.

“Nama penuh saya memang lain tetapi orang memang mengenali saya sebagai Wan Besi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintenden Mohd Anuar Jusoh mengesahkan kehadiran Wan Besi ke IPD Kangar untuk membuat penafian tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau masih belum menerima arahan atau waran tangkap terhadap Wan Besi oleh Polis Perlis. Pada pendapat anda, bagaimana Sajat berjaya meloloskan diri ke Thailand?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca