Didakwa ‘Back Up’ Neelofa, Ini Penjelasan Mawar Rashid

Aktres Mawar Rashid menjadi bualan ramai selepas meninggalkan komen pada laman Instagram sebuah portal berita tentang kes Neelofa dengan suaminya Haris Ismail yang dikatakan merentas negeri untuk membeli karpet di Nilai 3.

Pelakon Diam Tanda Setuju itu meninggalkan komen berkenaan isu Neelofa dan PU Riz rentas negeri di mana Mawar berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

Bagi Mawar, Neelofa ialah seorang individu yang baik kerana banyak berjuang untuk agama Islam, dan #FreePalestine. Oleh itu, Neelofa sepatutnya tidak perlu dipenjarakan.

Sumber: Twitter @cikfieyqa

Walaupun dia telah padam komen itu daripada sumber asal, gambar itu bagaimanapun tular di media sosial sehingga nama Mawar menjadi buah mulut orang ramai.

Mawar tampil memberikan keterangan tentang isu ini dan maksud sebenar yang ingin disampaikan menerusi satu hantaran di laman Instagram.

Sumber: Instagram @mawarashid

Akui kesilapannya kerana tidak menulis secara penuh, Mawar membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum menjelaskan perkara sebenar.

“Baca balik kenyataan Mawar, ‘Harap dapat diselesaikan dengan cara yang baik.’ Maksud Mawar dekat sini ialah mereka memang patut kena bayar sekiranya kena kompaun/denda lagi. Sekiranya mahkamah sudah putuskan kena penjara, saya hormati keputusan itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia juga merupakan seorang yang cepat kasihan dengan orang lain. Jadi, ia agak menakutkan bagi dirinya apabila terbaca istilah penjara.

Sumber: Instagram @mawarashid

“Cuma bila bercakap tentang penjara, bunyi itu menakutkan. Mawar pun turut rasa takut kerana saya ini jenis cepat kasihan dengan orang lain. Mawar pun kasihan dan simpati juga kepada petugas barisan hadapan, rakyat dan semua yang terlibat dalam COVID-19.

Lagi satu, Mawar juga tidak bermaksud untuk berkata Neelofa boleh langgar prosedur operasi standard (SOP) kerana berjuang untuk Palestin. Salah tetap salah dan Mawar hormati apa sahaja keputusan mahkamah untuk yang bersalah,” jelas Mawar.

Mawar turut memohon maaf kerana kesilapannya dan berharap agar rakyat Malaysia untuk terus jaga diri ketika musim pandemik ini.

Memetik laporan Harian Metro, Neelofa dan PU Riz tidak didakwa berkaitan kesalahan merentas negeri ketika dibawa ke mahkamah di Nilai selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca