Seorang tukang rumah direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes mengambil nyawa isterinya menggunakan tukul besi di Kampung Besol, Terengganu semalam.
Memetik laporan Astro Awani, perintah tahanan reman ke atas tertuduh yang berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Noradila Ab Latif di Mahkamah Majistret Dungun dekat Terengganu.
Suspek direman selama tujuh hari untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mengambil nyawa orang lain.
Terdahulu, suspek yang memakai baju penjara berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret Dungun kira-kira jam 8.42 pagi untuk proses permohonan reman.

Buat anda yang masih keliru, seorang wanita telah menghembuskan nafas terakhir selepas dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Besi pada pukul lapan pagi semalam.
Mangsa yang berusia 41 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian muka berdasarkan laporan Astro Awani.
Ketua Polis Daerah Dungun iaitu Superintendan Baharudin Abdullah berkata pasangan itu baru mendirikan rumah tangga setahun lalu. Walau bagaimanapun, mangsa yang baru menghantar anak ke sekolah dikatakan telah bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian itu.
Suspek kemudiannya tiba-tiba bertindak di luar kawalan dan mengambil nyawa isterinya.
“Difahamkan suspek kemudian memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya itu sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis. Susulan itu, kita telah menahan suami mangsa yang disyaki melakukan perbuatan itu,” ujar Baharudin.
Apa pendapat anda?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: