Didakwa Alami Kemurungan, Ini Coretan Terakhir Atlet Renang Sarawak Sebelum Ditemui Tidak Bernyawa

Atlet renang Sarawak, Aryton Lim yang ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di rumah keluarganya yang bertempat di Tabuan Laru, Kuching pada Khamis dipercayai mengalami kemurungan melampau.

Menurut laporan Astro Awani, atlet yang baru sahaja berusia 19 itu ditemui oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Umum Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching iaitu Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani mengesahkan kejadian dan mengatakan bahawa siasatan awal yang dijalankan oleh pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk menjalani prosedur bedah siasat.

Menurut ibu mangsa, anak kesayangannya itu mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu sebelum ditemui meninggal dunia.

Tinjauan kami di Instagram Aryton mendapati bahawa atlet itu ada memuat naik satu IG Story yang seolah-olah menyampaikan satu mesej dan sekali gus menguatkan lagi dakwaan ibunya.

Untuk rekod, Ayrton pernah mewakili Sarawak dalam kejohanan renang Sukan Malaysia yang lalu dan baru sahaja pulang daripada menjalani latihan di Singapura.

Pihak Lejen Press Digital mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga Aryton Lim.

Sesungguhnya, kemurungan dan tekanan itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Sekiranya anda tergolong dalam kalangan mereka yang derita penyakit kemurungan, anda boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders, sebuah badan NGO yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan. Butiran lanjut mengenai Befrienders di negeri-negeri lain boleh didapati di laman sesawang Befrienders.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca