Didakwa Ada Unsur Eksploitasi, NGO Ini Tidak Setuju YouTuber Siar Temu Bual Puteri Balqis

Pelakon cilik terkenal tanah air Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish menjadi bualan ramai selepas membuat pendedahan menjadi mangsa gangguan seksual yang didakwa telah dilakukan oleh bapanya dalam satu sesi temu bual di YouTube.

Pendedahan Aqish telah mengejutkan ramai orang kerana mereka tidak menyangka pelakon itu telah melalui ‘detik hitam’ ketika masih kecil lagi.

YouTuber tidak ada hak untuk siar temu bual itu

Datuk Dr. Raj Karim. Sumber: Malay Mail

Memetik laporan Harian Metro, Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia iaitu Datuk Dr. Raj Karim berkata YouTuber terbabit tidak mempunyai hak untuk menyiarkan pendedahan pelakon Akulah Balqis itu kerana tindakan yang didakwa dilakukan oleh bapa kandung remaja terbabit adalah satu bentuk perbuatan jenayah.

“Apa tujuan YouTuber itu? Dengan pendedahan melalui temu bual itu, kanak-kanak terbabit sudah dieksploitasi sebanyak dua kali iaitu oleh bapanya (jika benar dakwaan) dan pihak yang menemubualnya.

Kita sendiri tidak tahu bagaimana YouTuber ini mendekati pelakon ini namun yang pasti tindakannya itu adalah tidak betul kerana ia disiarkan secara terbuka,” ujarnya.

Raj turut berkata pendedahan Balqis tentang pengalaman pahitnya dikhuatiri mampu memberi kesan jangka panjang kepada pelakon itu sendiri termasuk kemurungan dan malu.

Puteri Balqis. Sumber: OhBulan!

Pencipta kandungan perlu ikut garis panduan

Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia itu berkata mana-mana pihak yang terbabit dalam penyiaran kandungan di media sosial perlu mengikut garis panduan ditetapkan dalam menemu bual kanak-kanak untuk mengelakkan mereka mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan tinggi.

“Kita ada garis panduan jika ingin menemu bual kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual termasuk mendapat kebenaran daripada ibu atau bapa mereka dan tidak boleh dilakukan di tempat awam.

Kalau di pihak kebajikan yang ingin menemu bual mangsa penderaan seksual perlu adanya kaunselor dan perlu peka terhadap gangguan emosi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Raj turut berpendapat Aqish sepatutnya mendapatkan pertolongan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membuat laporan polis jika benar berdepan gangguan daripada bapanya sendiri.

Puteri Balqis buat laporan polis

Sumber: Facebook POLIS DAERAH SUBANG JAYA

Ketua Polis Daerah Subang Jaya iaitu Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh remaja berusia 15 tahun itu.

Menerusi hantaran di Facebook, laporan polis itu menyatakan pelakon kanak-kanak itu mengaku telah diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya dan tertuduh didakwa tidak menjaga kebajikan mangsa.

Mangsa juga sering dipertontonkan video tidak senonoh dalam telefon bimbit bapa kandungnya. Insiden itu difahamkan berlaku sejak tahun 2013 hingga 2017.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana perbuatan keji dan kotor, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan tidak sopan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca