Dibunuh ‘Teman Lelaki’, Ini Kisah Bianca Devins Yang Ditemui Dengan Kepala Hampir Putus

Pada pertengahan tahun ini, laman sosial Instagram dikejutkan dengan penularan gambar seorang gadis berlumuran darah yang dipercayai telah dibunuh oleh ‘teman lelaki’ sendiri.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Bianca Devins, 17, baru sahaja tamat pengajian sekolah tinggi telah ditemukan polis dalam keadaan kepalanya hampir putus akibat dikelar kenalannya.

Tambah mengerikan apabila suspek dengan sengaja telah memuat naik gambar mayat remaja berkenaan ke media sosial. Pembunuhan disyaki dilakukan oleh tertuduh selepas terlibat dalam satu pergaduhan besar bersama mangsa.

Panggilan telefon

Bianca Devins popular di media sosial terutama sekali dalam kalangan pemain permainan video kerana sering memuat naik gambar swafotonya.

Kira-kira jam 7.20 pagi, balai polis Utiva, New York telah menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung seorang lelaki yang cuba membunuh dirinya dan telah mencederakan orang lain.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, tertuduh, Brandon Clark, 21, telah bertindak menikam diri sendiri pada bahagian leher sebelum berbaring di atas sehelai kain tarpaulin yang sudah berada di atas jalan raya.

Hasil siasatan mendapati kain tarpaulin berkenaan sebenarnya sedang menyeliputi mayat seorang remaja perempuan yakni Bianca Devins. Ketika ditemui, jasad gadis itu berada dalam keadaan berlumuran darah dengan kepalanya yang hampir putus.

Brandon yang cedera telah dibawa ke hospital di mana dia dijangka akan pulih seperti biasa.

Bianca dan Brandon

Menurut sumber daripada pihak polis, Bianca Devins dan Brandon Clark pertama kali berhubung melalui laman Instagram kira-kira dua bulan sebelum kejadian.

Meskipun ada sesetengah pihak mengatakan bahawa Bianca dan Brandon telah menjadi pasangan kekasih, seorang rakan kepada remaja popular itu menyangkal tanggapan berkenaan dengan berkata Bianca sebenarnya hanya menganggap Brandon tidak lebih daripada seorang rakan.

Pada malam sebelum pembunuhan terbabit berlaku, Bianca dan Brandon dikatakan telah sama-sama berangkat ke Brooklyn demi menghadiri konsert penyanyi bernama Nicole Dollenganger. Pasangan terbabit dijadualkan pulang pada esok harinya.

Namun begitu, semasa di dalam perjalanan, satu pertengkaran telah tercetus antara Bianca dan Brandon. Laporan mengatakan Brandon menjadi berang ekoran dia terlihat Bianca mengucup seorang lelaki lain semasa di konsert yang dihadiri mereka.

Kemudian, sekitar jam enam pagi, Brandon telah memuat naik sekeping gambar seorang perempuan dalam keadaan berlumuran darah bersama-sama dengan kapsyen berbaur misogini ke Discord yakni sebuah portal perbualan yang sering dikunjungi pemain permainan video di serata dunia.

Identiti gadis di dalam gambar terbabit kemudiannya berjaya dikenal pasti sebagai Bianca Devins oleh beberapa pengguna Discord yang merupakan peminat remaja berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, Brandon juga telah memuat naik gambar berkenaan ke laman Instagram. Namun kali ini, kapsyen yang ditulis pula menunjukkan bahawa Brandon berniat mahu mencederakan dirinya sendiri.

Perbicaraan

Sejurus selepas Brandon Clark pulih daripada kecederaan di lehernya, pemuda terbabit telah didakwa atas kesalahan membunuh remaja 17 tahun yakni Bianca Devins dan menyebarkan gambar jenayah di media sosial.

Walau bagaimanapun, lelaki terbabit mengaku tidak bersalah dan kes akan disebut semula pada November ini.

Sekiranya Brandon didapati bersalah, pemuda itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 25 tahun.

Menurut ibu mangsa, Kim Devins, anak perempuannya itu pertama kali bersua muka dengan tertuduh pada bulan Mei yang lalu selepas berbalas mesej di laman Discord.

“Saya tidak menyangka dia (Brandon) mampu melakukan perkara sekejam itu,” ujar Kim.

Tambah wanita itu lagi, dia percaya motif sebenar pembunuhan adalah kerana Brandon tidak mahu hanya menjadi kawan buat Bianca. Apabila anak gadisnya itu menolak cintanya, Brandon mungkin telah menyimpan dendam.

Difahamkan, keluarga Bianca Devins kini sudah membina satu yayasan untuk memberikan biasiswa kepada pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

“Bidang itu (psikologi) merupakan bidang yang mahu diambil oleh Bianca apabila dia mendaftar ke universiti,” kata Kim lagi.

Artikel Lain Untuk Di Baca