Dibuka Semula Selepas 2 Tahun, Ini Rupa Baharu Pustaka KL

Dengan kemunculan pelbagai pusat membeli-belah baharu, ramai warga kota meluahkan hasrat mereka untuk melihat pembinaan lebih banyak perpustakaan baharu.

Sebelum kewujudan internet, kebanyakan daripada kita sering ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat tambahan. Di samping itu, suasana perpustakaan yang tenang membantu para pelajar untuk menjadi lebih fokus.

Perpustakaan Kuala Lumpur atau turut dikenali sebagai Pustaka KL dibuka semula kepada orang awam pada 4 November lalu. Perpustakaan ini kini mengalami transformasi selepas ditutup semula pada 2017 untuk kerja-kerja penambahbaikan ruangan dalaman perpustakaan.

Arib Ismail berkongsi gambar-gambar rekaan dalaman Pustaka KL di laman Twitternya. Perkongsian berkenaan menerima 473 ulang kicau dan 1,159 sukaan.

Bukan sahaja untuk para pelajar dan mereka yang gemar membaca, tetapi lokasi ini juga sesuai untuk golongan bekerjaya melakukan kerja di sini kerana terdapat bilik khas untuk perbincangan dalam perpustakaan tersebut.

Kelebihannya ialah anda bebas untuk menggunakan semua kemudahan di dalam perpustakaan tersebut termasuk kafe internet dan internet yang laju sekiranya anda mendaftar sebagai ahli.

Selain itu, perpustakaan berkenaan turut menyediakan ruang khusus untuk kanak-kanak bermain.

Perpustakaan ini terletak berhampiran Dataran Merdeka dan dibuka setiap hari kecuali pada Sabtu dan Ahad minggu pertama setiap bulan serta cuti umum.

Untuk mereka yang serik dengan pusat membeli-belah, anda juga boleh pergi ke Taman Tasik Titiwangsa apabila ia dibuka semula selepas anda menghabiskan hari anda di Pustaka KL.

Artikel Lain Untuk Di Baca