Tisu tandas merupakan salah satu barang yang perlu ada di dalam tandas. Namun, adakah anda pernah terfikir bahawa terdapat tisu tandas yang menggunakan bahan daripada emas dan najis panda?
Malah, tisu-tisu ini juga dikatakan agak mahal jika dibandingkan dengan tisu yang selalu digunakan untuk kegunaan harian.
Berikut, kami kongsikan senarai tiga tisu tandas yang paling mahal:
1. Tisu tandas emas
Sebuah syarikat yang dikenali sebagai Toilet Paper Man di Australia dilaporkan telah menjadi pengeluar pertama kertas tisu tandas yang berharga RM4,346,666. Kertas tisu itu diperbuat dengan menggunakan emas 22 karat dan setiap satu gulung disertakan dengan sebotol champagne percuma buat pelanggan.
Setiap pesanan akan dihantar sendiri kepada pelanggan mereka. Di samping itu, para pelanggan tidak perlu risau terhadap tahap kebersihan tisu tandas tersebut kerana syarikat terbabit mengatakan bahawa mereka telah memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.
Malah, produk tersebut turut dihasilkan dalam tiga lapisan untuk memberikan keselesaan maksimum yang mengambil masa selama empat tahun untuk menghasilkan segulung tisu.
“Kami mendapat idea untuk menghasilkan kertas tisu ini selepas melihat beberapa hotel di Dubai yang menggunakan kelengkapan bersalut emas,” kata jurucakap berkenaan.
2. Tisu tandas ‘Panda Poo’
Sebuah syarikat di Beijing telah melancarkan satu produk tisu yang dihasilkan daripada najis beruang panda. Ada tisu tandas, tisu kotak dan tisu poket di bawah jenama Panda Poo yang berharga 43 yuan (RM26) sekotak.
Tisu ini dikatakan telah dihasilkan melalui najis panda dan daun buluh. Najis tersebut akan diambil daripada panda di kandang Pusat Pemuliharaan dan Kajian Beruang Panda China di Dujiangyan, Wolong dan Bifengxia di daerah Sichuan.
Ia dikukus dan disteril bagi mengambil gentian untuk membuat kertas atau tisu. Ia merupakan projek kerjasama pusat pemuliharaan itu dengan syarikat Sichuan Jianwei Fengsheng Paper yang mengeluarkan 600,000 tan kertas setahun.
Justeru, seekor panda dewasa memakan 12 hingga 15 kilogram buluh sehari dan mengeluarkan najis seberat 10 kilogram sehari.
3. Tisu tandas Hanebisho
Tisu tandas jenama Hanebisho yang berasal dari negara Jepun ini didakwa merupakan antara tisu termahal yang dijual dengan harga mencecah 5,000 yen (RM199.63) untuk satu pek yang mengandungi tiga gulung tisu. Untuk pek yang mempunyai lapan gulung tisu di dalamnya pula dijual dengan harga 10,000 yen (RM399.41).
Walau bagaimanapun, syarikat Hanebisho mengatakan bahawa tisu tandas ini dibuat daripada serat kayu yang berkualiti tinggi dari Kanada dan turut menggunakan sumber air yang paling bersih dari sungai Nyodo, Jepun.
Selain itu, tisu tandas tersebut dibuat melalui proses pengeringan secara perlahan dan berhati-hati untuk menjadikannya lembut. Hanya 150 tisu tandas yang dapat dihasilkan dalam masa sehari.
Malah, setiap gulung tisu itu akan dibungkus menggunakan Tosha Washi iaitu kertas khusus dari Jepun. Ia akan diletakkan di dalam kotak hiasan buatan tangan milik seorang seniman di Kyoto. Menurut laman Hanebisho, tisu tandas ini didapati memiliki kelembutan yang hampir sama dengan sutera.