Diberi Peluang Bertemu Banduan Akhir, Air Mata Alif Satar ‘Tumpah’ Di Penjara

Jarang sekali mana-mana selebriti berkongsi tentang sisi sedih dalam kehidupannya dan begitu juga dengan pelakon, penyanyi serta pengacara terkenal iaitu Alif Satar. Selalunya, setiap kali memuat naik apa sahaja perkongsian di media sosial, Alif lebih gemar untuk bercerita berkenaan hal-hal yang membahagiakan.

Perkongsian terbaharu Alif di channel YouTubenya bukan sahaja menjentik emosi yang sama terhadap dirinya sendiri malah juga buat kesemua yang menonton video tersebut. Alif telah memuat naik satu video sewaktu kunjungannya ke Penjara Sungai Buloh, Selangor pada bulan Ramadan lalu.

Pada permulaan video tersebut, air mata Alif yang bercucuran jelas menggambarkan kesedihan artis berusia 28 tahun itu dan ia ternyata sangat sukar untuk dibendung. Apa yang membuatkan Alif begitu emosi? Ikuti pengalaman Alif Satar yang begitu menginsafkan ini.

Pada bulan puasa yang lepas, Alif telah menerima jemputan untuk berbuka puasa dengan Mufti Kuala Lumpur bersama dengan banduan akhir. Apakah yang dimaksudkan dengan banduan akhir? Ia sebenarnya merujuk kepada banduan-banduan yang akan ke tali gantung.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar mengatakan bahawa dia sangat teruja, terharu dan berbesar hati sebaik sahaja mendapat jemputan daripada mufti apatah lagi majlis itu diadakan pada 10 malam akhir Ramadan.

“Ini merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki ke penjara dan berjumpa banduan akhir. Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Sebaik sahaja tiba di sana, Alif disambut baik oleh warga dan para pegawai dan perkara itu membuatkan rasa gelisahnya hilang sebentar.

Sebelum melangkah masuk ke penjara itu, Alif diberikan taklimat terlebih dahulu berkenaan apa yang patut dia lakukan dan apa yang dia seboleh-bolehnya perlu elakkan. Ini kerana banduan-banduan akhir ini terdiri daripada mereka yang pernah melakukan jenayah berprofil tinggi.

Sebelum Alif dibawa ke padang iaitu tempat di mana majlis berbuka bersama dengan kira-kira 70 banduan akhir itu, dia dibawa melawat sel yang menjadi ‘rumah’ kepada banduan-banduan tersebut.

Ketika melangkah masuk ke penjara itu, segala kamera dan barangan mereka seperti telefon, dompet dan kunci kereta perlu disimpan. Alif menyifatkan bahawa aura untuk melangkah masuk ke penjara itu bukanlah sesuatu perasaan yang baik.

Apa yang dilihat oleh Alif benar-benar di luar jangkaannya. Menurut Alif, keadaan sel sebenar bukanlah sepertimana yang kita lihat dalam drama mahupun filem. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia benar-benar kelihatan seperti ‘sangkar’.

Tambah pula dengan keadaan silingnya yang begitu rendah di samping persekitarannya yang begitu gelap, Alif tidak dapat membayangkan bagaimana seseorang boleh tinggal di tempat yang sedemikian. Tambahnya lagi, dia tidak pernah tidak sabar-sabar untuk keluar dari sesuatu tempat dan itulah apa yang dirasakannya sepanjang berada di situ.

Setibanya di khemah yang terletak di tengah-tengah padang, perkara pertama yang menarik perhatian Alif merupakan perbezaan warna setiap baju yang dikenakan oleh banduan-banduan itu. Ada yang memakai warna ungu dan ada juga yang mengenakan pakaian berwarna putih serta merah. Apakah makna di sebalik warna-warna ini?

Menurut Alif, warna ungu menunjukkan bahawa banduan itu sedang direman dan tidak dijatuhkan apa-apa hukuman lagi manakala mereka yang mengenakan baju putih berlengan merah pula adalah banduan-banduan yang akan ke tali gantung.

Ketika berbual dengan mereka, soalan yang bermain di minda Alif adalah kehidupan siapa yang terjejas dengan apa yang terjadi, adakah keluarga banduan-banduan itu ataupun barangkali keluarga orang lain?

Alif sempat mengajukan beberapa soalan kepada mereka tentang apa yang mereka buat untuk isi masa lapang ketika di dalam penjara? Majoriti daripada mereka menggunakan masa itu untuk membaca al-Quran dan berzikir.

Pada hari tersebut juga, Alif berpeluang untuk duduk bersama dengan dua orang banduan dan berkongsi cerita dengan mereka.

“Alif, saya kalau dapat kipas tangan pun saya dah cukup bersyukur,” kata salah seorang banduan itu.

Ketika ayat itu meniti di bibir banduan tersebut, rakan yang duduk di sebelahnya tiba-tiba menangis. Betapa bersyukurnya mereka meskipun cuma diberi kipas tangan. Alif ketika itu tidak lagi dapat menahan emosi kerana apa yang keluar dari mulut banduan tadi seolah-olah membuka mata dan hatinya, betapa tidak bersyukurnya dia selama ini.

Mereka semua mempunyai sejarah masing-masing tetapi apa yang paling menyentuh hati Alif adalah bagaimana mereka betul-betul berubah menjadi orang yang jujur dan ikhlas. Artis serba boleh itu juga mengatakan yang dia dapat melihat ‘nur’ pada wajah banduan berkenaan.

Sebelum bertemu dengan mereka, Alif berasakan bahawa kunjungan dia ke sana merupakan ‘hadiah’ buat mereka. Ternyata, ia adalah sebaliknya. Ketika berada di sana, Alif yang banyak belajar daripada mereka erti kesyukuran.

Alif berpendapat bahawa banduan-banduan ini mempunyai tahap takwa yang lain daripada kita semua. Kesemua benda yang terjadi ini ada hikmahnya. Mungkin Allah sendiri nak selamatkan mereka.

“Walaupun berada dalam penjara, saya rasa mereka sudah menemui Tuhan Yang Masa Esa. Allahuakbar. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua,” coret Alif di laman Instagramnya.

Ia sememangnya pengalaman yang cukup menginsafkan buat Alif. Sesungguhnya, kita tidak boleh menilai seseorang daripada kesilapan yang dia lakukan pada masa lampau. Siapa tahu, hari ini dia jauh lebih baik berbanding kita. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan iktibar buat kita semua.

Artikel Lain Untuk Di Baca