*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan sembilan bulan yang kritikal kerana mempunyai kandungan dadah tinggi dalam badan kini berada dalam keadaan sangat lemah dan terpaksa ditidurkan.
Memetik laporan Harian Metro, ibu mangsa yang berusia 36 tahun memaklumkan bahawa keadaan anak bongsu beliau yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan itu tidak menunjukkan sebarang tanda positif setakat ini.
“Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana dadah itu telah menyebabkan keadaan dia menjadi sangat lemah. Pilu hati saya melihat keadaannya seperti itu.
Walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya supaya bukakan mata dan segera sembuh. Saya hanya inginkan anak sedar sahaja. Tidak mengapa jika dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain. Itu sahaja yang saya harapkan,” ujarnya.

Wanita itu turut berkata anak bongsunya merupakan pemegang kad kelainan upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan (lambat) dan baru boleh berjalan.
Bernama melaporkan bahawa Pemangku Ketua Polis Kelantan iaitu Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pemeriksaan doktor mendapati terdapat kandungan dadah disyaki jenis syabu di dalam badan kanak-kanak tersebut berdasarkan ujian air kencing.
Zaki turut berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dikatakan telah dibawa ke lokasi penagihan dadah ketika berada di bawah jagaan bapa saudaranya.
“Polis sedang menyiasat sama ada kanak-kanak itu diberi dadah atau dibiarkan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terdedah kepada dadah.
Kami telah menahan suspek (bapa saudara) pada 10 malam kelmarin yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes ini,” tambahnya.
Tertuduh yang memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah direman sehingga 26 Jun ini dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: