Seorang lelaki bernama Wan Besi merupakan individu yang didakwa bertanggungjawab menyusun penyeludupan keluar usahawan kosmetik sensasi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dari Padang Besar yang terletak di Perlis sehingga ke Bangkok, Thailand.
Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan Wan Besi telah membawa Sajat menaiki sebuah kenderaan dari banglonya di Petaling Jaya pada minggu pertama Mac.
Menurut sumber, “Sebaik tiba di Padang Besar, Wan Besi dengan bantuan konconya menyeludup Nur Sajat ke dalam gerabak kereta api sebelum melepasi sempadan negara.

Kita percaya Wan Besi mempunyai dua kerakyatan dan dialah yang membawa Nur Sajat ke kondominium mewah di Bangkok yang dijadikan sebagai tempat persembunyian sehingga usahawan itu ditahan.”
Wan Besi yang dianggap sebagai pengkhianat negara itu dipercayai telah mengenakan bayaran sebanyak RM20,000 kepada Sajat untuk membawa usahawan kosmetik itu keluar dari Padang Besar ke Bangkok.
“Wang ini dibahagikan Wan Besi dengan pihak tertentu di kawasan Padang Besar yang bersubahat dengannya,” tambah sumber itu lagi.

Dalam pada itu, sumber berkenaan juga mendedahkan ada bayaran lain yang dikenakan kumpulan itu untuk membawa Sajat dari Lembah Klang ke Padang Besar dan siasatan juga sedang dijalankan berkenaan perkara tersebut.
Wan Besi aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand
Individu yang bernama Wan Besi ini sememangnya aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Padang Besar dan dia menjadikan kawasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai laluan utama penyeludupan keluarnya.
Wan Besi pernah ditahan tiga kali oleh polis membabitkan kes penyeludupan ketum dan tembakan di sempadan yang menyebabkan anggota Pasukan Gerakan Am menghembuskan nafas terakhir.
“Laluan pagar KTMB juga sering menjadi laluan utama rakyat Thailand untuk membolosi sempadan negara. Selain itu, kita juga percaya ada aktivis tertentu yang membantu menasihati Nur Sajat untuk memohon kad pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan berpindah ke Australia.

Aktivis ini memberi nasihat berkaitan human rights dan prosedur berhijrah ke Australia dengan alasan Nur Sajat menerima banyak ugutan bunuh dan lain-lain ugutan di Malaysia,” kata sumber itu.
Buat anda yang masih keliru, misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat kini terjawab apabila usahawan tersebut ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.
Menurut laporan Harian Metro, Sajat yang kini dikenali dengan nama Bella turut ‘berlagak’ dengan kad pelarian UNHCR yang dikeluarkan pejabat Agensi Pelarian PBB itu di Bangkok.

Untuk rekod, pihak imigresen telah menahan Sajat ketika serbuan yang dilakukan pada 8 September lalu bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita di sebuah kondominium mewah di Bangkok.
Pada 9 September lalu, Sajat didakwa di mahkamah atas kesalahan itu tetapi dia dibebaskan pada keesokan harinya dengan jaminan $2,000 (RM8,377) yang dibuat seorang warga tempatan.
Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari. Ketika ditahan, Sajat yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada agama Islam.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan Sajat, anda boleh klik pada pautan di bawah: