Adakah anda merupakan anak bongsu? Atau mungkin pasangan anda merupakan seorang anak bongsu? Atau anda sedang cuba untuk memahami anak bongsu anda yang tersayang? Artikel ini kami tulis untuk anda.

Berikut kami kongsikan 4 fakta tentang anak bongsu:

1. Rela dengar cakap semua orang

Memang tidak dinafikan bahawa anak bongsu dapat semua perhatian. Tapi, perhatian itu bukanlah seronok jika ia melampau dan berlebih-lebihan. Apabila semua gerak-geri kita sentiasa diperhatikan, tentu ia merimaskan. Malah, anda bukan saja kena dengar cakap ibu bapa, tetapi juga abang dan kakak.

2. Rela dianggap ‘budak-budak’ walaupun sudah besar

Sebagai anak bongsu, ramai yang akan menasihati si kecil ini dalam setiap perkara hingga mereka berasa selesa untuk ‘dikawal’ dan tak tahu buat keputusan sendiri. Begitulah yang diakui oleh Michael Grose, penulis buku Why First-borns Rule The World And Last-borns Want To Change It.

Susah meyakinkan orang lain tentang idea atau pendapat mereka, terutamanya apabila ia berbeza daripada apa yang abang atau kakak selalu buat sebelum ini. Bila nak berdikari dan belajar hidup sendiri, selalunya akan dibantah dan dipujuk. “Buat apa nak membazir? Duduk sajalah dengan mak dan ayah, kan senang.” kata mereka.

3. Rela dibanding-bandingkan dengan abang dan kakak

Bukannya senang nak meneruskan legasi atau reputasi abang dan kakak yang cemerlang dalam pelajaran. Kerja pun semuanya bagus-bagus. Menurut laman web Psychologies, sebab itulah anak bongsu lebih cenderung untuk memilih haluan yang jauh berbeza daripada abang dan kakak mereka.

Semasa belajar lagi, mereka sudah mula rasa tertekan untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak. Lebih teruk lagi kalau abang dan kakak pernah diajar oleh guru yang sama. Kalau buat silap, mesti ada cikgu yang akan mula membuka cerita betapa handalnya abang dan kakak semasa belajar di sekolah itu dahulu. Perkara ini menjadikan mereka rendah diri dan semakin stres.

4. Anak bongsu dianggap sebagai penyeri

Suka atau tidak, adik bongsu inilah yang menjadi penyeri dalam keluarga. Merekalah yang selalu menceriakan dan menaikkan ‘mood’ dalam setiap keadaan, bukan?

Pada masa yang sama, si bongsu inilah yang menjaga mak dan ayah apabila abang dan kakak sudah berkeluarga dan sibuk dengan urusan sendiri.

Sebagai ibu bapa, janganlah terlalu ‘melindungi’ anak bongsu seumur hidup mereka. Raikan pendapat mereka dan cuba pelajari perkara baru daripada mereka agar mereka juga rasa didengari serta mampu bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan seluruh keluarga.

Penulis

  • Nurifah Talib adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda