Dianggap ‘Rare’, Cendawan Ini Merupakan Makanan Termahal Di Dunia

Truffle merupakan salah satu daripada beberapa jenis kulat atau cendawan yang tumbuh secara liar dan semula jadi. Apakah yang membezakan cendawan biasa dan truffle? Kedua-duanya adalah sejenis kulat, enak.  Bukankah ia hampir sama? Tidak, sebenarnya. Truffle mempunyai dua jenis warna iaitu hitam dan putih. Truffle putih mempunyai nilai yang tinggi berbanding truffle hitam.

Truffle merupakan kulat yang tumbuh sepenuhnya di bawah tanah serta melingkar sendiri ke dalam akar-akar pokok seperti pokok oak, poplar, beech. Kulat ini memberikan mineral dan nutrien kepada pokok-pokok tersebut dan pokok-pokok itu pula akan memberikan kulat tersebut gula yang diperbuat daripada cahaya matahari.

Sumber: The Vocket

Jika hendak dibandingkan dengan truffle, cendawan mempunyai rasa yang agak ringan(mild), manakala truffle mempunyai bau dan rasa yang sangat kuat dan unik. Restoran-restoran terkenal menggunakan truffle dalam sajian seperti pasta, burger, telur dadar, pencuci mulut dan banyak lagi.

Sumber: The Vocket

Tahukah anda bahawa truffle adalah antara makanan paling mahal di dunia? Beberapa hirisan truffle hitam dari Perancis yang dikenali sebagai ‘black diamond’ mencecah harga ribuan ringgit di restoran Perancis. Manakala harga truffle putih dari Itali pula boleh mencecah tiga kali ganda harga ‘black diamond’.

Malah, truffle ini juga pernah dijual dengan harga RM 130,000 hanya untuk 100gram sahaja. Disebabkan harga yang sangat mahal dan sukar didapati, Kebanyakkan truffle dipasarkan dalam pasaran gelap atau dikenali sebagai “black market” dan terjadinya kes seludup dan rompak di Perancis dan Itali. Aktiviti tersebut diteruskan sehingga hari ini.

Sumber: Duvine

Truffle merupakan makanan biasa pada tahun 1800-an dan 1900-an di Perancis. Namun selepas Perang Dunia Kedua, kawasan luar bandar Perancis rosak teruk dan menyebabkan banyak hutan truffle di Perancis musnah membuatkan ia semakin sukar dijumpai. Oleh sebab itu, harganya melonjak naik dan sekarang menjadi makanan bagi orang kaya.

Yang membuatkan truffle ini sangat mahal adalah kerana ia sangat sukar untuk ditemui di mana ia hanya menyukai pokok-pokok tertentu sahaja. Anda boleh mendapatkan cendawan di mana-mana pasar raya tempatan. Tetapi untuk truffle, anda harus menggali lebih dalam kerana ia hanya tumbuh dalam keadaan yang tertentu sahaja. Oleh itu, seseorang tidak boleh menanam truffle kerana ia hidup dalam akar pokok. Truffle juga memerlukan penjagaan yang rapi.

Bacaan pH tanah lapan hingga 8.3 adalah tanah paling ideal dan iklim sederhana tanpa perubahan suhu yang melampau dapat membantu truffle membesar dengan baik. Musim salji juga menjadi pilihan segelintir peladang kerana salji bertindak sebagai penebat semula jadi terhadap tanah justeru dapat mengekalkan suhu truffle.

 Anjing digunakan oleh peladang dalam membantu proses menuai truffle. Hal ini demikian kerana, anjing mempunyai deria menghidu yang jauh lebih sensitif daripada manusia. Anjing dapat mengesan bau truffle dari jarak jauh lalu menggalinya di bawah tanah. Sisa-sisa spora truffle yang tertinggal akan terus membiak.

Cendawan boleh dijumpai sepanjang tahun tidak mengira musim. Manakala truffle pula tumbuh dalam jangka masa lima hingga enam tahun. Oleh kerana ia mengambil masa yang panjang untuk tumbuh, kuantitinya di pasaran sangat sedikit tetapi masih ada permintaan, sekali gus menyebabkan harga truffle sangat mahal.

Negara pengeluaran truffle yang paling popular ialah Perancis, diikuti oleh China, Amerika, Chile dan New Zealand.

Penulis:

  • Yusrina Yusra Binti Ya’akob adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan ‘rare’, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca