Dianggap Menyebarkan Kebencian, Video Lirik ‘Akhir Zaman’ Kini Turut Dipadam Dari YouTube

Single terbaharu kumpulan Bunkface yang berjudul Akhir Zaman sebelum ini menerima kritikan hebat daripada warganet kerana terdapat lirik yang disifatkan sebagai menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. “L*BT boleh pergi mampus” adalah salah satu bait dalam lagu Akhir Zaman yang membuatkan segelintir pihak menganggap Bunkface sebagai keterlaluan dan homophobic.

Pada Jumaat lepas, kumpulan yang dianggotai tiga jejaka itu telah pun tampil memberi penjelasan tentang lagu tersebut di laman Instagram rasmi mereka. Dalam hantaran yang sama, mereka turut memuat naik tangkap layar yang memaparkan video lirik single itu dipadam dari laman Facebook.

Terbaharu, tinjauan kami di laman YouTube mendapati video lirik lagu Akhir Zaman turut dipadam. Pada masa yang sama, Bunkface yang lebih sedekad aktif dalam industri muzik itu telah memuat naik tangkap layar di Instagram yang menunjukkan notifikasi video tersebut dipadam. Menerusi tangkap layar itu, ia dikatakan dipadam kerana didapati melanggar piawaian laman berkenaan daripada segi menyebarkan kebencian.

Malah, artikel kami sebelum ini mengenai reaksi warganet terhadap lagu tersebut yang dikongsikan di Facebook turut dipadam oleh laman itu atas sebab yang sama.

Lagu Akhir Zaman kini bagaimanapun masih boleh distrim di aplikasi penstriman audio seperti Apple Music dan Spotify.

Namun begitu, tinjauan kami di laman sosial mendapati golongan yang menyokong L*BT masing-masing menyuruh orang ramai supaya melaporkan lagu tersebut kepada Spotify agar ia dipadam dengan serta-merta.

Dalam pada itu, tinjauan kami di media sosial juga mendapati ramai yang berpihak kepada Bunkface dan menganggap tindakan segelintir pihak melaporkan lagu Akhir Zaman adalah tidak wajar.

Apa-apa pun, semuanya bergantung kepada setiap individu bagaimana mahu mentafsirkan sesuatu benda termasuklah lagu ini.

Untuk baca artikel lain berkenaan lagu Akhir Zaman yang penuh kontroversi ini, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca