Diambil Sempena Seorang Wanita Yang Setia Menunggu Bekas Suami, Ini Kisah Di Sebalik Nama Kampung Janda Baik

Selalunya, pasti ada kisah di sebalik setiap nama tempat di muka bumi ini. Begitu juga dengan Kampung Janda Baik yang terletak di Pahang. Bagaimana agaknya asal usul kampung ini sehingga ia digelar sedemikian? Kisah yang bakal kami kongsikan ini merupakan cerita turun-temurun yang diceritakan dari generasi ke generasi.

Sebelum orang Melayu dari Kampung Ketari dan Kampung Benus, Bentong berpindah ke Kampung Janda Baik, ia sebenarnya merupakan kawasan hutan belantara.

Difahamkan, kawasan tersebut pada mulanya didiami oleh kaum orang Asli. Ketua kaum orang Asli atau lebih dikenali dengan julukan Tok Batin merupakan seorang yang kaya-raya.

Kononnya, Tok Batin yang bernama Emok itu telah jatuh hati dengan seorang anak dara yang mendiami kawasan Hulu Kenaboi, Negeri Sembilan. Kawasan Hulu Kenaboi boleh dilawati dengan menggunakan jalan hutan menerusi Kampung Janda Baik.

Memandangkan Tok Batin sudah angau dibuai cinta dengan anak dara jelita itu, dia memilih untuk menceraikan isterinya yang bernama Endut.

Selepas itu, Tok Batin berkahwin dengan gadis yang dicintainya itu. Setelah mereka berkahwin, Tok Batin telah berpindah mengikut isterinya ke Hulu Kenaboi. Maka, tinggallah jandanya di kampung yang kini dikenali sebagai Kampung Janda Baik itu seorang diri.

Kebahagian yang diimpikan Tok Batin ternyata tidaklah semanis yang disangka. Gara-gara terlampau mengikut segala kehendak isterinya, Tok Batin yang asalnya begitu kaya akhirnya jatuh miskin. Keadaannya yang miskin serta usianya yang sudah tua itu menyebabkan isteri baharunya lari ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Tok Batin kemudiannya pulang semula ke kampung asalnya. Tibanya di sana, dia mendapati bahawa jandanya masih setia menunggunya dan bersedia untuk menerimanya semula sebagai suami meskipun diperlakukan sedemikian rupa sebelum ini. Seakan-akan pengakhiran cerita dongeng, mereka pun bersatu semula dan hidup dengan bahagia selamanya.

Sejak itu, kampung tersebut dikenali sebagai ‘Janda Balik’ di mana nama tersebut diambil daripada peristiwa seorang janda yang ‘berbalik’ semula ke pangkuan bekas suaminya. Lama kelamaan, nama ‘Janda Balik’ telah bertukar menjadi ‘Janda Baik’ apabila nama asalnya itu disebut secara laju.

Artikel Lain Untuk Di Baca