‘Dia de Muertos’, Perayaan Menyambut Roh Orang Mati Berkunjung Ke Dunia

Dia de Muertos (Hari Orang Mati) ini merupakan satu perayaan yang disambut oleh orang Mexico. Festival ini bertujuan untuk menyatukan semula ahli keluarga yang masih hidup dengan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Festival ini disambut pada 1 dan 2 November setiap tahun, menjadikan Dia de Muertos sebagai hari cuti umum bagi penduduk Mexico.

Asal usul Dia de Muertos

Hari Orang Mati ini bermula lebih kurang 3,000 tahun lalu sebagai sebuah ritual untuk menghormati orang yang telah meninggal dunia semasa zaman Mesoamerika sebelum kedatangan Eropah.

Kaum Aztek dan juga orang Nahua lain mendiami Tenochtitlan (kini merupakan tengah Bandar Mexico). Mereka percaya bahawa alam semesta ini merupakan satu kitaran, di mana kematian ini merupakan satu bahagian yang penting dan akan sentiasa berada dalam kehidupan kita.

Selepas seseorang itu meninggal dunia, roh si mati dipercayai akan dibawa ke Chicunamictlán. Untuk roh tersebut menuju ke tempat bersemadi yang terakhir iaitu Mictlán, mereka perlu melalui sembilan peringkat yang mencabar dan perjalanan yang akan mengambil masa selama beberapa tahun.

Kebiasaannya, ritual kaum Nahua untuk menghormati orang yang telah meninggal dunia akan diadakan pada bulan Ogos. Dalam ritual tersebut, ahli-ahli keluarga si mati akan menyediakan makanan, minuman dan peralatan yang digunakan untuk membantu roh si mati dalam melalui perjalanan yang sukar ini.

Dia de Muertos (Hari Orang Mati) yang disambut pada zaman ini diinspirasikan daripada ritual kaum Nahua di mana keluarga akan meninggalkan makanan ataupun tawaran lain di atas kubur si mati, ataupun mereka akan menghidangkan makanan tersebut di altar buatan sendiri dalam rumah mereka (ofrenda).

Pengaruh Katolik dan budaya Sepanyol

Festival yang disambut oleh orang pagan pada zaman purba Eropah diadakan semasa musim luruh. Festival ini mempunyai unggun api, tarian dan pesta. Walaupun setelah kebangkitan Gereja Roman Katolik, terdapat juga adat orang pagan yang masih kekal bertahan dan telah diadaptasi dalam perayaan mereka iaitu All Saints Day dan All Souls Day.

Semasa zaman pertengahan Sepanyol, pada hari All Souls Day, keluarga si mati akan mengunjungi kubur si mati dengan wain dan pan de ánimas (roti roh). Selain itu, mereka akan memenuhi kubur tersebut dengan bunga dan lilin untuk membantu roh si mati untuk pulang ke rumah mereka di bumi.

Dia de Muertos (Hari Orang Mati)

Sumber: Coco

Berbeza dengan tanggapan orang ramai, Dia de Muertos bukanlah Halloween versi Mexico walaupun kedua-duanya mempunyai persamaan daripada segi kostum dan perarakan. Menurut kepercayaan orang Mexico, sempadan yang memisahkan dunia roh dan dunia sebenar telah dibubarkan untuk satu hari ini sahaja.

Dalam tempoh ini, roh si mati akan pulang ke dunia untuk berpesta, minum dan menari bersama ahli keluarga mereka. Ahli keluarga yang masih hidup akan melayan roh si mati sebagai tetamu kehormat dan meninggalkan makanan kegemaran ataupun tawaran lain untuk roh si mati di kubur mereka ataupun di ofrenda.

Simbol

Simbol terkemuka yang dikaitkan dengan Hari Orang Mati ialah calacas (rangka) dan calaveras (tengkorak). Pada awal abad ke-19, José Guadalupe Posada, seorang kartunis telah membayangkan Mictecacíhuatl, dewi dunia bawah bagi kaum Aztek sebagai rangka seorang wanita yang diberi nama La Calavera Catrina. La Calavera Catrina merupakan ikon Hari Orang Mati yang paling dikenali oleh orang ramai.

Orang ramai akan memakai topeng tengkorak dan makan gula-gula berbentuk tengkorak dalam festival kontemporari Hari Orang Mati. Makanan lain yang dikaitkan dengan Dia de Muertos tetapi boleh didapati sepanjang tahun termasuk coklat gelap yang pedas dan minuman keras yang berasaskan jagung (atole).

Dia de Muertos dalam filem

Filem James Bond, Spectre (2015) telah memaparkan perarakan besar-besaran untuk Hari Orang Mati. Bandar Mexico mengambil inspirasi daripada filem tersebut dan menganjurkan perarakan untuk Dia de Muertos buat pertama kalinya pada tahun 2016.

Coco (2017) merupakan sebuah filem pecah panggung yang telah memberikan penghormatan kepada tradisi ini di mana Miguel, seorang budak kecil telah diangkut ke dunia roh dan berjumpa dengan nenek moyangnya.

Kesimpulannya, Dia de Muertos mungkin berubah mengikut peredaran zaman tetapi festival ini diadakan untuk menghargai ahli keluarga yang telah pergi. Kematian itu dilihat sebagai sesuatu yang positif dan merupakan kitaran hidup.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca