Di Sebalik Misteri Tentang Legenda Kapal Berhantu

Legenda kapal hantu sangat popular, terutamanya kapal hantu ‘Flying Dutchman’. Kalau kau orang baca di wikipedia, banyak senarai legenda kapal hantu dalam kisah-kisah masyarakat.

Selain Flying Dutchman, Mary Celeste juga antara kapal hantu yang cukup popular. Tak tahulah kapal macam Black Pearl itu benar-benar wujud ataupun tak.

Betul ke kapal-kapal hantu ini wujud?

Pada tahun 1872, kapal Mary Celeste didapati sedang berlayar di lautan Atlantik tanpa seorang pun manusia di atas kapal tersebut yang mengemudinya. Mary Celeste juga dipenuhi air dan sampan-sampan penyelamat pun tiada. Barang-barang dalam kargo yang ditemui mempunyai unsur-unsur yang misteri yang menyebabkan Mary Celeste dikatakan berhantu.

Elemen utama kapal hantu ini adalah ia bergerak dan mengemudi sendiri tanpa manusia yang mengemudinya.

Kapal Mary Celeste

Baiklah, selamat tinggal era-era mistik. Sains telah mengambil alih tugas anda. Sebenarnya selama ini, dalang kejadian tersebut adalah konsep keapungan (buoyancy) dan dinamik bendalir (fluid dynamics).

Keapungan adalah berasaskan Prinsip Archimedes (Fizik) yang dikatakan prinsip ini ditemui oleh Archimedes sewaktu mandi. Semasa dia tengah mandi, dia memikirkan bagaimana mahu selesaikan masalah yang diberikan oleh Hiero II berkenaan mahkota emas.

Kapal Flying Dutchman

Sewaktu kita tenggelamkan objek di dalam bekas air penuh, akan terdapat limpahan air. Archimedes menyatakan, berat limpahan air tersebut sama dengan kekuatan daya keapungan. Limpahan air ini juga kita boleh panggil sebagai gantian air atau air yang digantikan oleh objek.

Objek-objek dapat terapung di atas air kerana daya keapungan dikenakan lebih besar berbanding daripada daya graviti, selain faktor ketumpatan.

Objek seperti kapal yang diperbuat daripada besi sepatutnya tenggelam kerana ketumpatan besi lebih tinggi daripada air. Ia dapat terapung kerana binaan kapal besi tersebut dapat menggantikan isi padu air yang lebih berat daripada berat kapal itu sendiri.

Lantas, menjadikan daya keapungan kapal lebih tinggi daripada berat kapal. Jadi, ia dapat terapung dan tak dapat tenggelam.

Biasanya kapal tenggelam sewaktu berlayar apabila berlaku kebocoran di bahagian badan kapal (hull). Apabila bocor, ia akan dimasuki air. Bila dimasuki air, kapal akan jadi lebih berat daripada daya keapungannya. Jadi, ia akan tenggelam.

Sewaktu Mary Celeste mulai tenggelam sebab kebocoran, krew-krew mula meninggalkan kapal tersebut. Tetapi Mary Celeste tak tenggelam sepenuhnya kerana air yang memenuhi Mary Celeste tidak cukup berat untuk menenggelamkannya.

Peristiwa bagaimana sesetengah orang boleh nampak semula kapal-kapal yang dah tenggelam selama beratus tahun ini dapat dijelaskan oleh dinamik bendalir. Dinamik bermaksud pergerakan. Bendalir adalah air atau gas. Dalam kes ini air.

Air laut mempunyai arusnya yang tersendiri, bergantung pada beberapa faktor seperti suhu cuaca, putaran Bumi, kekuatan angin dan kemasinan air laut itu sendiri. Ini sebab mengapa kapal seperti Flying Dutchman dan Mary Celeste masih berlegar-legar di lautan dan sering dilihat beberapa kali oleh sesetengah orang.

Kapal-kapal ‘hantu’ ini digunakan oleh saintis untuk mengkaji arus air laut, mengkaji arus selat dan pelbagai lagi berkenaan dinamik bendalir.

Selamat tinggal era-era mistik. Maafkan kami, hantu kerana selalu menuduh kalian buat kerja tak berfaedah ini.

Perkongsian dengan izin penulis asal, Zamir Mohyedin

Foto: History 101, The Vintage News

Artikel Lain Untuk Di Baca