Detik-Detik Akhir Riwayat Botak Chin, KL Gangster Yang Licik Dan Ganas

Penjara Pudu, Jun 1981

Pintu sel dibuka. Botak Chin dibawa keluar dengan muka bertutup kain hitam menuju ke Bilik Gantung. Banduan akhir itu masih nampak tenang.

“Sudah sampai ah? Saya rasa macam lari 100m, sudah sampai garisan penamat.” Itulah kata-kata terakhir Botak Chin kepada warden penjara yang mengiringi.

Sekadar gambar hiasan

Dunia Gangster

Wong Swee Chin datang daripada keluarga yang normal, dengan adik-beradik seramai 10 orang. Anak jati Kuala Lumpur ini dilahirkan pada tahun 1951 dan amat rapat dengan ibu. Ayahnya merupakan pesara pekerja jabatan kereta api.

Selepas kematian ibunya, hidup remaja itu bertukar tragik. Dia lebih suka bergaul dan tinggal dengan kawan-kawannya yang mencuri.

Chin berhenti sekolah pada usia 15 tahun dan bekerja di pasar borong. Di sinilah dia mula terlibat dengan kegiatan jenayah dan menjadi anggota kongsi gelap, Geng 360.

Dia digelar Botak Chin bukan sebab berkepala botak tetapi Botak merupakan akronim daripada Bantu Orang Tak Ada Kerja, satu pendapat lagi adalah gabungan tiga perkataan Hokkien iaitu Bo Tak Chin yang bererti Tiada (Bo), Kerja (Tak) Chin (China) atau China Tiada Kerja atau ‘jobless Chinese’.

Dengan memiliki pistol dan senjata api, Botak Chin & the gang itu melakukan rompakan pertama pada 19 April 1969. Senjata pertama yang dimiliki Botak Chin adalah sepucuk revolver 22. Kawasan lombong tinggal di Kepong menjadi medan dia berlatih menembak.

Sekadar gambar hiasan

Lelaki itu dikatakan berulang-alik ke Thailand bagi mendapatkan bekalan senjata api. Selain itu dia dipercayai turut bertemu dengan bomoh siam untuk mendapatkan tangkal dan khidmat mistik yang menjadi rahsia kekebalannya.

Maka bermulalah perjalanan karier Botak Chin sebagai penjenayah, melakukan beberapa siri rompakan dan pembunuhan seperti yang dilaporkan oleh banyak media. Walaupun gangster, mereka tidak menyentuh dadah dan perempuan.

Sekadar gambar hiasan

Botak Chin dikatakan Robin Hood moden kerana merompak dan mengagihkan duit kepada orang miskin. Namun mengikut perkongsian Syahril A. Kadir yang pernah bekerja sebagai wartawan jenayah, “Ramai yang tak tahu, dia buat macam tu sebab nak ‘cover line’ je, bila bagi duit kat orang, ramai yang selalu ‘cover’ dia dari ditangkap polis.”

Polis gigih memburu Botak Chin dan konco-konconya sampai ke lubang cacing dan akhirnya penjenayah ini diberkas pada tahun 1976 di Jalan Ipoh.

Masuk Hospital Tanjung Rambutan

Botak Chin pernah dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental sama ada dia cukup waras untuk dibicarakan di mahkamah.

Berdasarkan pemerhatian selama 19 hari, Tan Sri Dr M. Mahadevan, pakar psikiatri ketika itu mengesahkan yang Botak Chin tidak gila dan merupakan seorang genius namun tersilap pilih jalan hidup.

Malah menurut pakar sakit jiwa itu lagi, Botak Chin turut dikatakan mempunyai ramai peminat wanita dan selalu mendapat surat cinta.

Cuba merasuah menteri

Semasa berada di dalam Penjara Pudu, Botak Chin pernah cuba untuk mengebom penjara berkenaan dengan bahan-bahan letupan yang disimpan di dalam tandas. Apabila pihak penjara dapat menghidu perancangannya, dia tibai dan tikam warden-warden tersebut separuh mati.

Kemudian datang seorang Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid untuk berunding dengannya. Pada mulanya Botak Chin buat tak endah dan hanya merenung tajam lelaki itu.

Selepas mengetahui jawatan Sanusi dalam kerajaan, barulah Botak Chin mendekatinya dan berbisik rancangan jahat untuk berpakat supaya dia dibebaskan. Dia turut menawarkan untuk berkongsi 50 peratus daripada hasil rompakan jika dapat membebaskannya.

Sanusi hanya tersenyum sinis dan berdiam diri.

Melihat reaksi itu, Botak Chin naik berang dan berkata “Pasal apa simpan gua, kasi makan, buang duit kerajaan. Gantung gua punya badan dan buang semua habuk dalam parit dan longkang. Apa tunggu lagi…takutkah?”

Sanusi hanya diam, tidak mahu membuat sebarang provokasi yang boleh mengakibatkan Botak Chin bertindak ganas.

Pada pertemuan kedua, Botak Chin mengasak soalan yang sama kepada Sanusi.

“Bila mau gantung gua?” tanya Botak Chin.

Sanusi memintanya bersabar kerana masih belum ada tali. Tali gantung pada waktu itu jenis yang disalut baldu agar tidak menyakiti banduan ketika dijerut.

“Mana lu tahu sakit atau tidak…yang sudah mati kena gantung cakap sama lu ka?” tanya Botak Chin. Dia suruh guna wayar untuk menggantungnya.

Kisah ini pernah dilaporkan dalam akhbar dan dikongsikan dalam blog peribadi Tan Sri Sanusi Junid.

Dalam laporan akhbar, New Straits Times pada 13 Jun 1981, kali terakhir ketua samseng itu dilihat bertemu dengan keluarganya, dia kelihatan tidak menyesal dan sempat berjenaka bagi menghiburkan keluarganya buat kali terakhir. Petang itu, dia sempat menikmati makanan terakhirnya iaitu mi goreng, ayam goreng dan buah serta air kosong.

Ke tali gantung

Pukul 3 pagi. Gear ditarik dan platform di bawah kakinya terbuka. Tali gantung itu menjerut leher sekali gus menamatkan episod riwayat hidup seorang gangster legenda di Malaysia.

Artikel Lain Untuk Di Baca