Destinasi Percutian Berpenunggu? Ketahui 4 Tempat Misteri Di Bali

Sebut sahaja Bali, anda pasti sudah terbayangkan kecantikan pulau yang sangat indah. Mempunyai pasir pantai yang putih bak mutiara dan kejernihan air laut yang membiru menambah lagi keindahan pemandangan pulau tersebut. Maka, terpesonalah mata dan terpautlah hati sesiapa sahaja yang memandangnya.

Walau bagaimanapun, di sebalik keindahan tempat dan keunikan daripada aspek kesenian dan kebudayaannya, kota Bali ini memiliki banyak tempat mistik.

Berikut merupakan 4 tempat misteri di Bali:

1. Taman Festival

Tahukah anda? Taman Festival yang terletak di Padang Galak, Bali ini dahulunya merupakan salah satu taman tema yang sangat besar dan gah. Taman tema ini ditubuhkan pada tahun 1997 dengan pelbagai jenis permainan yang menarik seperti pertunjukan, teater 3D, zoo dan replika gunung berapi yang sentiasa meletus tanpa henti.

Namun begitu, taman tema ini diisytiharkan muflis berikutan masalah kewangan yang menyebabkan dana bagi membangunkan bangunan lain dalam taman tersebut tidak dapat diteruskan. Ditambah lagi dengan tragedi kebakaran pada tahun 2012 meninggalkan kesan mistik terhadap keadaan bangunan tersebut.

Bangunan terbengkalai ini menjadi lebih seram apabila terdapat informan yang mengatakan bahawa buaya-buaya yang dipelihara sebagai salah satu haiwan zoo itu masih mendiami kawasan tersebut. Malahan, haiwan-haiwan ini dikatakan mengganas dan saling makan-memakan antara satu sama lain.

Bukan itu sahaja, terdapat informan yang menyatakan bahawa beberapa pengunjung telah hilang sejurus selepas melawati kawasan kolam buaya tersebut.

2. Hotel P.I Bedugul

Hotel P.I Bedugul ini merupakan salah satu projek pada tahun 90-an. Namun begitu, pembangunan hotel ini tidak dapat dilaksanakan berikutan peristiwa bom di Bali pada tahun 2012. Tidak hanya begitu, usaha untuk membangunkan hotel ini masih terus dijalankan, namun berhubung dengan permasalahan dana yang dialami, pembangunan hotel ini terpaksa dihentikan dan terus dibiarkan begitu sahaja.

Keseraman yang wujud tatkala berbicara mengenai hotel ini sering kali dikaitkan dengan kehilangan seorang pelancong Rusia sewaktu mengunjungi bangunan tersebut.

3. Desa Trunyan

Desa Trunyan merupakan sebuah kawasan penempatan terpencil di kota Bali. Desa Trunyan atau Kuburan Trunyan ini terletak di bahagian timur Bali, iaitu Danau Batur, Kabupaten Bangli. Desa ini kononnya dikatakan mengamalkan cara pengebumian yang menyeramkan.

Para pelancong yang berkunjung ke sini merasakan aura negatif setiap kali melalui kawasan ini. Bagaimana tidak, pengunjung berpeluang melihat mayat-mayat atau jenazah yang digelimpangkan begitu sahaja tanpa melalui proses pengebumian yang sewajarnya.

Anehnya, mayat-mayat tersebut tidak menimbulkan sebarang bau yang tidak menyenangkan. Hal ini demikian kerana, bau-bau mayat tersebut telah hilang diserap oleh sebuah pohon yang dinamakan Trunyan. Jadi apa pandangan anda? Adakah anda cukup berani jika ditawarkan untuk mengunjungi kawasan ini secara percuma?

4. Candi Karangasem

Candi Karangasem ini terletak di salah sebuah desa di Bali, iaitu Desa Tista. Candi ini kekal menjadi misteri apabila tiada satu pun maklumat yang dapat dirungkai tentang kewujudan candi tersebut. Bahkan, kewujudan patung-patung di sekitar kawasan Candi Karangasem ini juga masih belum diketahui fungsinya.

Lebih menyeramkan, terdapat informan yang menyatakan rasa kejanggalan mereka sewaktu mengunjungi tempat tersebut. Malahan, penduduk sekitar juga masih mempercayai bahawa candi ini merupakan candi yang berpenunggu.

Maka, benarlah kesempurnaan itu hanya dimiliki oleh yang kuasa, yakni Pencipta kita. Tidak semua yang kita pandang indah itu sempurna, namun masih ada kekurangannya. Walau bagaimanapun, bersyukurlah kepada yang Esa, kerana tiap kekurangan itu menjadikan sesuatu lebih istimewa.

Artikel Lain Untuk Di Baca