Derita Barah Hati, Penulis Watak Adiwira Jepun Ultraman Meninggal Dunia

Penulis watak adiwira popular Jepun, Ultraman disahkan sudah meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Shozo Uehara yang merupakan salah seorang perintis siri Ultraman menghembuskan nafasnya yang terakhir pada awal Januari lalu akibat komplikasi susulan penyakit barah hati. Berita kematiannya disahkan oleh keluarganya usai menjalani majlis pengebumian secara tertutup.

Selain menjadi perintis siri adiwira Ultraman, Uehara turut dikenali ramai sebagai salah seorang individu terawal yang memperkenalkan genre tokusatsu di Jepun dan persada antarabangsa.

Terma Jepun tokusatsu membawa maksud filem live action atau siri televisyen yang menggunakan banyak kesan khas. Siri animasi Ultraman dan Kamen Rider merupakan antara karya yang menggunakan genre tokusatsu.

Sebelum kemunculan Ultraman, Uehara merupakan antara penulis asal untuk siri Ultra Q yang diterbitkan oleh syarikat produksi Tsuburaya Productions pada tahun 1966.

Uehara juga telah melebarkan bakatnya dalam bidang penulisan dengan menyertai Toei Production dan mencipta siri Himitsu Sentai Goranger yang menerima sambutan hangat daripada penonton.

Salah satu karya terbaharu beliau termasuk sebuah autobiografi 2017 yang bertajuk Kijimuna Kids yang mengisahkan tentang dirinya yang membesar di Okinawa, Jepun semasa Perang Dunia II.

Difahamkan, buku berkenaan memenangi Anugerah Literasi Joji Tsubota pada tahun 2018.

Pihak Lejen Press mengucapkan takziah kepada keluarga Shozo Uehara.

Untuk membaca artikel lain berkaitan adiwira, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca