Pernah tidak anda berasa serik atau terganggu dengan perangai rakan sekerja? Mesti pernah, bukan? Biasalah, lain orang, lain ragamnya.
Maka, perkongsian kali ini, penulis akan senaraikan lima ragam manusia di tempat kerja.
1. Talam dua muka
Anda haruslah berhati-hati sekiranya mempunyai rakan sekerja yang berperangai seperti ini. Bagaimana mahu kenalpasti? Senang sahaja.
Sekiranya, individu berkenaan boleh memburukkan hal orang lain di hadapan anda, maka tidak mustahil untuk dia memburukkan anda di hadapan orang lain.
Manusia sebegini harus sentiasa diwaspadai. Jangan sesekali berani untuk mendedahkan sesuatu perkara khususnya masalah peribadi anda kepada mereka. Bukan apa, bimbang sahaja perkara tersebut dengan mudah dicanang ke semua orang sehingga menjadi bahan bualan atau buah mulut.
2. Sembang lebat
Ini salah satu perangai manusia yang gemar dilihat sebagai ‘hebat’. Pantang dengar individu atau rakan sekerjanya mempunyai sesuatu yang baharu, pasti dia juga akan menceritakan kisah dirinya yang turut sama pernah berada dalam situasi tersebut.
Sebenarnya, terdapat satu lagi versi ‘sembang lebat’ dalam diri seseorang. Satu contoh yang boleh dijadikan rujukan ialah apabila individu tersebut berkata-kata seolah mampu laksanakan pelbagai perkara, namun perbuatannya tidak seperti yang diucapkan. Dalam erti kata lain, ‘cakap tak serupa bikin’.
3. Kaki tapau
Kaki tapau juga pasti akan selalu kita temui walau di mana-mana tempat kerja sekalipun. Antara situasi yang boleh diberikan bagi menggambarkan ragam ini ialah pantang nampak rakan sekerja hendak ke restoran, mesti muka dia sahaja yang akan minta tapaukan makanan.
4. Bersepah dan pengotor
Satu contoh bagi menggambarkan perwatakan individu atau rakan sekerja yang pengotor ialah apabila tempat kerjanya sangat bersepah sehingga berbau. Itu belum lagi sekiranya individu tersebut tidak tahu menggunakan tandas pejabat dengan cermat.
5. Gelabah tidak tentu pasal
Pantang ada perkara baharu atau tidak kena di pejabat, pasti dia menjadi orang pertama sekali yang akan panik dan menggelabah. Tidak cukup dengan itu, rakan sekerja lain pasti akan dihujani dengan pelbagai bentuk soalan daripada individu tersebut.
6. Punch card rakan sekerja
Ragam yang satu ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Walau di mana jua anda bekerja, anda pasti akan tetap bertemu dengan spesis yang satu ini.
Siapa sahaja yang mahu kelihatan terlewat datang bekerja, bukan? Jadi, solusi terbaik pastinya dengan menghubungi rakan sepejabat untuk meminta bantuan mereka agar kad anda di punch sekali.
7. Gemar ambil tahu hal orang lain
Manusia beragam seperti kebiasannnya layak digelar sebagai ‘polis pejabat’. Dia amat gemar memantau pekerjaan orang lain, ‘skodeng’ anda yang sedang membaca e-mel, membuka skrin telefon bimbit dan lebih parah lagi menjadi juri bagi menilai kualiti kerja anda.
8. Dengar lagu/video secara terbuka
Kebarangkalian rakan sekerja anda tidak pernah mendengar alatan yang dipanggil sebagai fon telinga atau headphone. Mungkin juga dia sengaja berbuat demikian agar orang lain tahu betapa coolnya pilihan muzik yang dimainkan. Namun, dia tidak sedar betapa alunan muzik atau lagu tersebut mengundang gangguan konsentrasi orang lain sewaktu bekerja.
Macam-macam betul kerenah manusia. Sebagai makluman, lapan jenis ragam sebagaimana yang telah disenaraikan oleh penulis tentunya belum cukup untuk menggambarkan dan memperjelaskan kerenah manusia di tempat kerja.
Baru-baru ini, Lejen Press Digital ada menerbitkan sebuah rakaman video yang mengisahkan tentang ragam-ragam manusia di tempat kerja. Jadi, apa tunggu lagi? Jom bersama-sama tonton video berikut!