‘Depression’ Bukan Gila, Ini Adalah Cara Untuk Membantu Individu Yang Mempunyai Masalah Mental

Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan, setiap tiga dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental. Malah, penyakit ini dijangka merupakan masalah kesihatan kedua terbesar yang bakal menjejaskan rakyat Malaysia menjelang 2020 selepas penyakit jantung.

Walaupun penyakit ini semakin merisaukan, masih ramai individu yang tidak memahami perihal isu ini. Tambahan pula dengan pelbagai stigma negatif yang kebanyakannya menyamakan penyakit mental dengan ‘gila’ menyebabkan pesakit sering kali memilih untuk menderita dalam senyap.

Depression atau kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Penyakit ini boleh membuatkan seseorang individu itu tidak mahu berbuat apa-apa selain baring sahaja. Pesakit kemurungan juga sering berasa diri mereka tidak berguna dan hilang minat untuk melakukan sebarang rutin harian.

Berikut kami kongsikan cara untuk membantu seseorang yang menghidapi kemurungan dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

1. Bertanya khabar

Bertanya khabar mungkin kedengaran remeh tetapi perkara kecil ini mampu memberikan impak yang besar. Apabila seseorang pesakit mental mula memberitahu bagaimana hari mereka, anda harus mendengar untuk memahami bukan mendengar untuk menghakimi. Ini kerana nasihat yang anda berikan mungkin boleh mengakibatkan keadaan seseorang pesakit itu menjadi lebih buruk daripada sebelumnya.

2. Menambah pengetahuan

Untuk membantu individu yang menderita penyakit kemurungan, seseorang itu haruslah menambah ilmu pengetahuan mengenai hal ini. Terdapat pelbagai cara untuk belajar tentang penyakit ini seperti membaca buku, melayari internet, bertanya pada doktor pakar psikologi dan bertanya kepada pesakit lain yang menghidap penyakit sama.

3. Menjadi pendengar yang baik

Untuk menjadi seorang pendengar yang baik, anda perlulah mempunyai sifat empati dan sifat memahami yang tinggi. Selain itu, anda perlu bersifat terbuka dan tidak sesekali memberi melabel seseorang pesakit mental itu. Sebaliknya, anda perlulah mendengar luahan hati mereka tanpa sebarang komen. Apabila mereka sudah bertenang, barulah anda boleh memberi nasihat mengenai perkara itu.

Untuk mengetahui lebih mendalam tentang cara untuk membantu seseorang yang mempunyai penyakit mental, anda boleh tonton video di bawah.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua di masa hadapan.

Selamat maju jaya!

Artikel Lain Untuk Di Baca