Dengarkan ‘Pasir Berbisik’ Dan Nikmati Keindahan Matahari Terbit Di Bromo

Keindahan matahari terbit di puncak Gunung Bromo mula menjadi bualan hangat dalam kalangan pengembara Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Gunung yang terletak di Jawa Timur ini memiliki keindahan alam yang cukup unik. Jika tidak, masakan kumpulan muzik Bunkface mengabadikan keindahan Bromo dalam muzik video lagu mereka yang berjudul ‘Kembali’. Dengan ketinggian 2,392 meter dari aras laut, Gunung Bromo yang berada dalam empat wilayah iaitu daerah Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang ini cukup unik kerana statusnya sebagai gunung berapi aktif.

Untuk sampai ke Bromo, anda perlu mengambil penerbangan ke Surabaya, Indonesia. Dari sana, anda perlu teruskan perjalanan kira-kira 2 jam lagi untuk sampai ke daerah yang menjadi akses ke Gunung Bromo tersebut.

Terdapat 3 laluan yang boleh dipilih iaitu Probolinggo, Pasuruan dan Malang. Jadi, ia terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Laluan paling popular adalah menerusi Probolinggo kerana laluannya agak mudah berbanding yang lain. Namun, jika anda mahu menyaksikan pemandangan matahari terbit yang mengasyikkan, akses dari Pasuruan adalah yang terbaik.

Pasir Berbisik

Lokasi padang pasir ini pernah menjadi lokasi penggambaran filem ‘Pasir Berbisik’ yang diterajui oleh Dian Sastrowardoyo pada tahun 2001. Nama lokasi tersebut bukanlah bersempena dengan nama filem, tetapi ia kerana fenomena pasirnya yang seakan-akan berbisik ke telinga setiap orang yang melaluinya ketika angin bertiup.

Hamparan pasir terlihat sejauh mata memandang. Jika anda gemar mengambil foto alam semula jadi, lokasi ini pasti menarik perhatian.

Keindahan Gunung Bromo

Seterusnya ialah kawah Gunung Bromo. Di sana, terdapat sebuah Pura iaitu tempat orang Tengger yang beragama Hindu melakukan upacara keagamaan seperti upacara Kasada (setahun sekali).

Tetapi sayangnya, Jeep hanya boleh menghantar penumpang kira-kira 400 meter dari Pura dan ini bermakna anda harus berjalan kaki untuk sampai ke sana. Jika tidak mampu atau tidak berstamina, bolehlah menyewa seekor kuda untuk dihantar sampai ke tangga pendakian. Harga sewa kuda ini di antara Rp50,000 (RM14.50) ke Rp 100,000 (RM29). Jadi kena bijak tawar-menawar.

Untuk singgah ke sana, anda perlu memakai penutup mulut dan hidung kerana di sana banyak pasir berterbangan. Anda perlu memanjat kira-kira 150 anak tangga untuk sampai ke bibir kawah Bromo. Penat memang penat, tetapi ia berbaloi kerana anda berpeluang menyaksikan pemandangan lautan pasir, Pura Hindu, Gunung Batok dan sudah tentunya kawah Bromo sendiri.

Apa pendapat anda mengenai Pasir Berbisik ini, menarik bukan? Jadi, kepada anda yang berhajat untuk ke sana, tinjau-tinjaulah pakej pelancongan menarik atau buat penempahan tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan harga yang lebih murah.

Artikel Lain Untuk Di Baca