Dengan Sekali Lafaz, Emma Maembong Sah Isteri Juruterbang

Hanya dengan sekali lafaz, Emma Maembong sah bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada jam 11.58 pagi tadi.

Berwalikan bapa kepada pengantin perempuan iaitu Ismail Embong, pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan iaitu Mohammad Akmal Abdul Aziz.

Memetik laporan Berita Harian, Emma menerima mas kahwin sebanyak RM2,000 dan senaskhah Al-Quran serta tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.

Walau bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Selain itu, pasangan ini mengadakan majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga dan teman rapat.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail berkata, “Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Tarikh nikah hari ini sangat cantik, jadi mengapa tidak kami abadikan sebagai detik hari bahagia saya dan suami.”

“Walaupun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, InsyaAllah,” katanya.

Emma dan Shazli pertama kali bertemu ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi aktres, Uqasha Senrose tiga tahun lalu.

“Dipendekkan cerita, pada 15 Julai tahun lalu, kami berhubung semula di IG. Kali ini, interaksi itu lebih jelas dan masing-masing bertukar nombor telefon,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan mempelai ini masih belum merancang destinasi berbulan madu dan tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan anak secepat mungkin.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Emma Maembong, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca