Demi Sara Isteri Sakit, Warga Emas Ini Sanggup Ulang-Alik 100 Kilometer Setiap Hari Untuk Jual Ikan Masin

Demi mencari sesuap nasi buat diri sendiri dan isteri yang uzur, seorang warga emas dari Muar, Johor sanggup berulang-alik sejauh 100 kilometer setiap hari untuk menjual ikan masin kepada orang ramai.

Warga emas yang dikenali sebagai Md Zin Ahmad itu keluar dari rumah yang terletak di Bukit Pasir, Muar seawal jam 8 pagi untuk menaiki bas menuju ke Melaka Sentral.

Md Zin yang berusia 63 tahun itu membawa sekitar 100 bungkus ikan masin yang diperoleh dari Parit Jawa, Muar setiap hari. Bagi memastikan semua ikan masin yang dibawa itu terjual, Md Zin akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa mengenal erti penat.

Adakalanya, orang ramai langsung tidak mengendahkannya. Namun begitu, dia tidak sesekali akan mendesak mereka untuk membeli ikan masin itu.

Menurut Md Zin, isterinya iaitu Fatimah Md Said yang berusia 73 tahun terlantar di rumah kerana sakit tua. Pada masa yang sama, dia memilih untuk mencari rezeki sendiri selagi mampu meskipun mempunyai empat orang anak yang sudah bekerja. Hal ini demikian kerana beliau tidak mahu membebankan mereka memandangkan kesemua anaknya sudah mempunyai keluarga sendiri.

Md Zin cuma menerima komisen sebanyak 50 sen bagi setiap bungkus ikan masin yang terjual. Kadang-kadang, komisen yang diperoleh itu tidak mampu menanggung kos tambang pergi dan balik iaitu kira-kira RM30 sehari serta perbelanjaan makan sehingga jam 9 malam.

Tambahnya lagi, beliau terpaksa berjalan kaki ke kawasan Melaka Sentral bagi menjual ikan masin kerana sambutan di situ jauh lebih memberangsangkan berbanding tempat lain.

Sekiranya ada rezeki lebih, pelanggan yang sedia ada akan mencarinya bagi menempah bekalan ikan masin untuk kegunaan majlis kenduri kesyukuran dan kenduri perkahwinan.

Semoga insan yang tidak kenal erti putus asa ini akan dilimpahkan rezeki oleh Allah SWT.

Artikel Lain Untuk Di Baca