Demi Kemudahan Umat Islam, Jepun Lancar Masjid Bergerak Sempena Olimpik 2020

Satu langkah positif telah diambil Jepun dalam membuat persiapan Sukan Olimpik 2020 di mana mereka telah memperkenalkan masjid bergerak khas buat kemudahan warga Muslim.

Meskipun majoriti penduduk di Jepun tidak menganuti agama Islam, inovasi terbaru daripada Fukuoka Masjid Al Nour Islamic Center ini adalah untuk memudahkan umat Islam menunaikan solat sempena Sukan Olimpik 2020 yang bakal berlangsung di Tokyo kelak.

Mula dibangunkan semenjak empat tahun yang lalu, masjid bergerak ini sebenarnya merupakan sebuah trak seberat 25 tan yang telah diubahsuai untuk memuatkan 50 orang jemaah dalam satu masa.

Sumber: YouTube

Trak yang boleh ‘dikembangkan’ ini turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti paip air untuk mengambil wudhu’, penentu arah kiblat dan dewan solat yang selesa dan berhawa dingin.

Menurut Yasuharu Inoue yakni CEO Yasu Project, pembinaan masjid bergerak ini adalah inisiatif negara itu untuk mengadakan ruang solat yang mampu bergerak ke tempat pertandingan lain demi kemudahan umat Islam yang bakal bertandang ke negara itu sempena temasya sukan tersebut.

“Ia merupakan perkara yang merisaukan buat Jepun sebagai komuniti internasional apabila bilangan masjid yang ada di negara ini mungkin tidak mampu untuk menampung umat Islam yang bakal tiba pada Sukan Olimpik 2020,” ujarnya.

“Sebagai negara yang terbuka dan suka menerima tetamu, kami ingin berkongsi idea kemesraan orang Jepun dengan warga Muslim.”

Tambah Yasuharu lagi, inspirasi untuk menjalankan projek terbabit hadir kepadanya ketika dia sedang mengadakan lawatan ke Qatar empat tahun yang lalu.

“Saya akan berasa sangat gembira sekiranya masyarakat dari Indonesia, Malaysia, Afrika dan Timur Tengah serta pelarian Syira mampu menggunakan masjid ini sebagai salah satu cara untuk mempromosikan keamanan dunia,” katanya dalam satu temu bual.

Untuk membaca artikel lain berkaitan negara Jepun, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca