Rumah Sudah Tiada Apa-Apa Untuk Dimakan, Lelaki Ini Sanggup Kejar Lori Guna Basikal Demi Dapatkan Bantuan

Umum sudah tahu, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai golongan B40 yang terjejas kerana terputus bekalan makanan akibat hilang pekerjaan.

Setiap hari, pasti ada berita yang menyayat hati tentang golongan yang tidak mampu memberikan sesuap nasi kepada keluarga kerana kesempitan hidup.

Pada 1 April yang lalu, seorang sukarelawan telah memuat naik coretan mengenai seorang bapa yang sanggup mengayuh basikal beberapa kilometer dari Kampung Bakau ke Sundang Darat demi mendapatkan sumbangan buat keluarga tercinta.

Fendi, 28 tahun, merupakan ketua keluarga kepada isteri dan dua orang anaknya termasuk yang baru dilahirkan melalui pembedahan.

Beliau yang berasal dari Kampung Bakau itu bekerja di sebuah kilang bebola ikan, namun hilang pekerjaan sejak PKP dilaksanakan.

“Saya mahu minta bantuan tuan. Saya dengar kamu ada bagi bantuan bolehkah bagi saya sedikit untuk anak bini di rumah.

Tiada apa-apa sudah di rumah kami ni. Tolonglah tuan saya merayu,” katanya seperti dikongsikan sukarelawan kebajikan, Yunizam Yusop di laman Facebook Abam Botak.

Menurut beliau, Fendi tiba-tiba sahaja muncul dalam keadaan kepenatan lalu merayu untuk diberikan bantuan. Namun mereka tidak dapat menolong kerana barangan yang dibawa oleh mereka itu sudah janji untuk diberikan kepada keluarga lain.

Hal itu menyebabkan mereka berasa serba salah kerana tidak dapat membantu pada hari itu. Mereka kemudian memberikan nombor telefon kepada lelaki itu dan membantu beliau pada keesokannya.

“Mukanya sangat-sangat memerlukan ketika itu. Daripada air mukanya dan bola matanya saya tengok seribu harapan diberikan kepada kami,” ujarnya di dalam coretan itu.

Mereka akhirnya dapat menjejaki rumah Fendi itu pada 3 April dan menghantar bantuan kepadanya. Abam Botak turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang membantu memberi sumbangan kepadanya.

Beliau turut menyertakan maklumat Fendi buat mereka yang berhajat untuk menyumbang di laman Facebooknya.

Perkongsian itu menerima reaksi yang positif dalam kalangan warganet yang rata-rata berterima kasih kepada mereka kerana membantu Fendi.

Diharapkan, keluarga Fendi sekeluarga berada dalam keadaan baik selepas ini dan menerima bekalan yang secukupnya sepanjang Perintah Kawalan ini berjalan.

Rakyat dinasihati untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di rumah. Selain itu, anda juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk sentiasa berada di rumah dan tidak melanggar peraturan.

Sebelum ini kami ada kongsikan kisah yang sama seperti di atas, untuk membaca anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca