Demi Ke Planet Marikh, Elon Musk Jual Rumah Terakhirnya Yang Bernilai Lebih RM126 Juta

Demi ke planet Marikh, Elon Musk telah membuat keputusan untuk menjual rumah terakhirnya di Amerika Syarikat. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan SpaceX itu telah berulang kali menyatakan hasratnya sebelum ini untuk menjual sebahagian besar hartanya termasuk semua rumahnya bagi membiayai misinya ke planet tersebut.

Memetik laporan Business Insider, hartanah Elon Musk seluas 47 ekar yang terletak di Hillsborough, San Francisco itu dijual pada 2 Disember lalu dengan harga sekitar $30 juta (RM126,780,000). Rumah itu dipercayai telah dijual kepada seorang individu yang enggan didedahkan identitinya.

Rumah yang dibeli oleh Elon pada tahun 2017 dengan harga $23 juta (RM97,244,000) itu merupakan kepunyaan Christian de Guigne IV. Keluarga Christian telah memiliki rumah agam itu selama 150 tahun.

Elon difahamkan telah menjual sebahagian besar hartanya sejak Mei lalu bagi membiayai misi membina koloni di Marikh. Beliau turut berkata mahu menghantar satu juta orang ke Marikh menjelang tahun 2050.

Beliau kelihatan serius untuk menjual ‘hampir semua’ harta bendanya untuk membiayai rancangan ke Marikh walaupun ia bermaksud usahawan itu tidak akan mempunyai rumah.

Elon yang sebelum ini mempunyai aset hartanah dengan nilai lebih daripada $100 juta (RM422,800,000) telah menjual sebahagian besar daripadanya untuk membiayai koloni di Marikh.

Sumber: The Vocket

Aset hartanah Elon termasuk tiga rumah di kejiranan Bel-Air, Los Angeles dan estet yang sebelum ini dimiliki oleh aktor Gene Wilder.

“Ia akan mengambil banyak sumber untuk membina sebuah bandar di Marikh. Saya mahu menyumbang sebanyak mungkin bagi membina sebuah bandar di Marikh,” kata Elon kepada Mathias Döpfner iaitu CEO Axel Springer dalam temu bual pada Disember lalu.

Axel Springer ialah syarikat induk Insider. Elon turut memberitahu Mathias bahawa dia pada dasarnya tidak memiliki apa-apa harta selain saham dalam syarikatnya.

“Orang ramai akan menyerang saya dan berkata, ‘Oh, Elon ada semua harta ini. Elon mempunyai semua rumah ini.’ Sekarang saya tidak memilikinya lagi,” tambahnya.

Elon kini memulakan hidup baharu dengan tinggal di rumah sewa yang minimalis dan tidak kelihatan mewah. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Elon Musk, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca